Jurukamera Agensi Berita Maut Kemalangan Di Lebuh Raya Karak

4 Jun 2023 • 9:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Allahyarham Khairul Azman Zainuddin - Gambar dari media sosial

KUANTAN - Jurukamera agensi berita Channel NewsAsia, Khairul Azman Zainuddin maut akibat kemalangan motosikal di KM43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Bentong hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata kejadian pada 12 tengah hari itu berlaku ketika Khairul Azman, 45, dalam perjalanan menuju Kuala Lumpur dan dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala. 

"Motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan sebelum tercampak ke laluan bertentangan dan mangsa juga dilanggar sebuah motosikal di laluan itu yang tidak dapat mengelak," katanya dalam kenyataan. 

Penunggang dan pembonceng sebuah lagi motosikal cedera ringan dan dirawat di Hospital Bentong.

Beliau berkata kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pusat kawalan daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di 09-2222 222. - Bernama