Jururawat maut digilis selepas motosikal rempuh lori berhenti tanpa tanda amaran

LocalCars
19 Feb 2025 • 10:12 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Seorang jururawat berusia 29 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan tanpa meletakkan sebarang tanda amaran. Tragedi ini berlaku di Kilometer 28.2 Lebuhraya SILK, Kajang, sekitar jam 1 tengah hari semalam.

Mangsa, Nurul Ilham Nordin, yang bertugas di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Serdang, sedang dalam perjalanan dari Cheras ke Cyberjaya sebelum insiden itu berlaku.

image is not available

image is not available

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden Shan Gopal Krishnan, impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa terpelanting ke tengah jalan sebelum dilanggar dua kenderaan lain.

“Akibat rempuhan, mangsa tercampak ke laluan kanan dan digilis oleh dua buah kereta yang datang dari arah belakang,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

image is not available

Lori berhenti tanpa tanda amaran cetus kecaman

Kejadian ini mengundang perhatian ramai selepas rakaman dashcam kemalangan itu tular di media sosial. Video tersebut menunjukkan lori berkenaan berhenti di lorong kecemasan yang terletak di selekoh tanpa meletakkan sebarang tanda amaran seperti kon atau segitiga kecemasan.

Tindakan pemandu lori yang tidak mengambil langkah keselamatan itu mencetuskan kemarahan netizen. Ramai menyalahkan kecuaiannya kerana berhenti di kawasan berbahaya tanpa memberi isyarat kepada pengguna jalan lain.

Beberapa pengguna media sosial menegaskan bahawa pemandu lori seharusnya lebih bertanggungjawab dan mematuhi peraturan keselamatan, terutama apabila berhenti di lorong kecemasan. Ada juga yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas agar kejadian serupa tidak berulang.

“Kalau lori rosak, wajib letak kon kecemasan. Ini tidak, main berhenti sesuka hati. Sampai bila benda macam ni nak jadi?” luah seorang pengguna media sosial.

Dalam pada itu, ramai turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap tindakan segera diambil untuk menambah baik aspek keselamatan jalan raya.