Jurusolek Ditahan Reman 7 Hari Didakwa Nodai Pelakon Remaja Lelaki Ketika Mengurut

LocalEntertainment
20 Jan 2025 • 4:37 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Kebiasaannya, amang seksual (sexual assault) amat sinonim dan sering kali dikaitkan dengan kanak-kanak dan remaja tidak kira jantina. Ini kerana kebanyakan mangsa terdiri daripada kumpulan umur sebegini.

Walaupun telah pelbagai langkah yang dilakukan oleh pihak berkaitan dalam menangani isu sebegini namun masih ada lagi yang menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab.

Lihat sahajalah sejak kebelakangan ini ada sahaja laporan yang khususnya melibatkan kanak-kanak atau remaja yang menjadi mangsa amang seksual.

Pelakon Remaja Lelaki Dakwa Dinodai Jurusolek

Terbaharu, seorang pelakon remaja lelaki didakwa menjadi mangsa amang seksual seorang jurusolek ketika membuat urutan badan di sebuah salon rambut di Ayer Keroh, Melaka pada Jumaat (17 Januari) lalu.

Jurusolek yang berusia 41 tahun itu didakwa menodai pelakon lelaki yang berusia 18 tahun kira-kira jam tiga petang.

Jurusolek Direman Tujuh Hari

Ekoran daripada itu, jurusolek tersebut direman selama tujuh hari sehingga Ahad (26 Januari) ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan (KK) iaitu dengan sengaja melakukan perbuatan di luar tabii.

Difahamkan, perintah tahanan reman terhadap jurusolek berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Sharda Shienha Mohd Suleiman hari ini (20 Januari).

Pelakon Setuju Buat Urutan Badan Selepas Dandan Rambut

Menurut Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi, pelakon sambilan itu telah datang ke salon rambut berkenaan kira-kira jam 3 petang Jumaat (17 Januari) lalu kerana ditawarkan perkhidmatan mendandan rambut secara percuma.

Suspek kemudiannya menawarkan perkhidmatan baharu kepada mangsa iaitu urutan badan.

Mangsa kemudiannya bersetuju mencuba perkhidmatan tersebut memandangkan dia sudah lama mengenali suspek.

“Ketika mengurut bahagian paha pengadu, tiba-tiba jurusolek itu membuka seluar dalam dan melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa sambil memegang pahanya dengan kuat.

“Pengadu berasa sangat terkejut dan selepas selesai urutan, pengadu terus keluar dari salon dan mengambil masa bertenang sebelum membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh, Sabtu (18 Januari) lalu,” katanya.

Polis Tahan Jurusolek Di Hadapan Premis

Susulan laporan yang dibuat, suspek telah ditahan kira-kira jam 4.30 petang semalam (19 Januari) oleh sepasukan anggota daripada Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di hadapan premis berkenaan.

Jelas Md Nazri lagi, mangsa yang juga merupakan pengadu masih bujang dan merupakan anak sulung daripada tiga beradik serta bekerja sambilan sebagai pelakon kebudayaan di ibu negara.

Malah, mangsa juga merupakan pelajar tahun pertama di sebuah kolej kemahiran Bangi dan pelakon drama.

Source: