Jurutera Didenda RM1,000 Sebab Conteng Tembok Kedutaan AS

8 Nov 2023 • 3:50 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang jurutera didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan melakukan khianat iaitu conteng tembok Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS), hujung bulan lalu.

Menurut laporan UtusanTV, Ahmad Ridzwan Al Amin Azman Shah, 22, bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan isu konflik Palestin-Israel.

Difahamkan juga, pemuda tersebut bakal menjalani hukuman penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Jurutera conteng tembok kedutaan AS

@utusantvofficial

Majistret Chai Wong Sia mengenakan hukuman denda itu selepas tertuduh, Ahmad Ridzwan Al Amin Azman Shah, 22, mengaku bersalah. #trendingnewsmalaysia #fyp #beritaditiktok #palestin #as #contengtembok

♬ Atouna El Toufouli – Suja’i Channel Sholawat

Menurut kertas pertuduhan, Ahmad Ridzwan didakwa melakukan khianat dengan merosakkan harta benda kepunyaan Kedutaan Besar AS dengan cara menconteng perkataan ‘terrorist’ menggunakan penyembur cat berwarna merah sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM200.

Tertuduh telah melakukan perbuatan tersebut di tembok luar bahagian utara bangunan kedutaan besar itu di Wangsa Maju, Kuala Lumpur sekitar jam 5.30 pagi pada 28 Oktober lalu.

Disebabkan itu, Ahmad Ridzwan telah didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

image is not available

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Muhammad Rhastdan Abdul Wahab memohon agar anak guamnya itu dikenakan denda yang minimum dan dikecualikan daripada hukuman penjara.

Rayuan tersebut dilakukan kerana tertuduh perlu menanggung ibunya yang merupakan ibu tunggal serta neneknya yang berusia 70 tahun.

“Tertuduh berasa tidak puas hati dengan perkembangan konflik di Palestin dan telah melakukan kesalahan itu bagi menyampai mesej pandangan peribadi tertuduh kepada kedutaan itu, bukan mahu menyebabkan kerugian.

“Tertuduh juga telah mengambil iktibar dan pengajaran serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama. Tertuduh mohon agar diberikan peluang kedua dengan hukuman denda minimum dan dikecualikan hukuman penjara,” katanya.

image is not available

Pun begitu, Timbalan Pendakwa Raya, Vivien Yeap Jie Xi meminta kepada mahkamah supaya dikenakan hukuman yang setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Sumber: UtusanTV ( Auzaee Athallah)