Justin Lim letak jawatan sebagai Pengarah SMTrack berkuat kuasa serta-merta

16 Aug 2023 • 9:44 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Justin Lim letak jawatan sebagai Pengarah SMTrack berkuat kuasa serta-merta

azan

16/08/2023 - 09:44

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Datuk Justin Lim Hwa Tat yang masih disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meletakkan jawatannya sebagai Pengarah SMTrack Berhad berkuat kuasa serta-merta.

Syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia memberitahu bahawa peletakan jawatan itu adalah disebabkan komitmen kerja lain.

Beliau sebelum ini dilantik sebagai Pengarah Eksekutif SMTrack sebelum ditetapkan semula jawatan kepada pengarah bukan eskekutif pada 24 Julai lalu.

Beliau juga menganggotai lembaga pengarah beberapa syarikat tersenarai awam, termasuk Sersol Berhad sebagai ketua pegawai eksekutifnya.

Justin menjadi tumpuan sejak awal Julai selepas SPRM meminta bantuan orang ramai untuk mengesannya bagi membantu siasatan berhubung arahan dan kelulusannya terhadap lima pembayaran berjumlah RM2.5 juta kepada sebuah syarikat swasta bernama HGC Legacy Enterprise.

Pada 26 Julai, Sersol menerima permintaan untuk Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) daripada Hillcove Sdn. Bhd. untuk menyingkirkan pengerusi Datuk Lim Tiong Siang (bapa Justin) serta dua pengarah iaitu Shazreen Mohd. Hatta dan Sia Meng Chan.

Hillcove berhasrat melantik tiga pengarah baharu iaitu Datuk Mohamed Suffian Awang yang merupakan bekas setiausaha politik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Alan Ling Sie Kiong dan Tan Tong Lang.

EGM dijadualkan diadakan pada 25 Ogos ini. - DagangNews.com