K²T peluang anggota keluarga ATM jana pendapatan

LocalFamily & Parenting
13 Mar 2026 • 3:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Nizar (empat kanan) bersama peserta yangmengikuti Kursus Masakan Kuih Raya bagi ahli BAKAT Kolej Tentera Udara di Kolej Komuniti Bandar Darulaman, Jitra baru-baru ini.
image is not available
Mohd Nizar (tiga kiri) melihat peserta yangmengikuti Kursus Masakan Kuih Raya bagi ahli BAKAT Kolej Tentera Udara di Kolej Komuniti Bandar Darulaman, Jitra baru-baru ini.

JITRA – Peluang mempelajari kemahiran baharu melalui Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T) bukan sahaja memberi ilmu tambahan kepada keluarga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malah membuka ruang kepada mereka menjana pendapatan sendiri demi membantu ekonomi keluarga.

Program yang dilaksanakan oleh Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) itu mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 1,153 ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) di seluruh negara menyertainya sepanjang tahun lalu.

Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin berkata, jumlah penyertaan itu dijangka meningkat kepada kira-kira 1,500 peserta pada tahun ini susulan minat yang semakin bertambah terhadap kursus kemahiran yang ditawarkan.

Menurutnya, peserta mengikuti 34 jenis kursus kemahiran yang dikendalikan melalui rangkaian Kolej Komuniti di seluruh negara bagi memberi pendedahan secara praktikal dalam pelbagai bidang.

**media[3462247]**

“Kursus ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta menambah ilmu, malah boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan melalui bidang keusahawanan sekali gus membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Masakan Kuih Raya bagi ahli BAKAT Kolej Tentera Udara di Kolej Komuniti Bandar Darulaman, di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd Nizar, program tersebut berteraskan konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memberi peluang kepada ahli BAKAT dan anak-anak anggota ATM mempelajari kemahiran praktikal.

Katanya, pihaknya turut merancang memperluaskan pelaksanaan program berkenaan ke Sabah dan Sarawak bagi memberi peluang kepada lebih ramai keluarga anggota ATM menyertai kursus tersebut.

“Dengan hampir 65 kem tentera di seluruh negara yang terletak berhampiran Kolej Komuniti, kursus jangka pendek ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh ahli BAKAT untuk menambah kemahiran dan seterusnya membuka peluang perniagaan kecil-kecilan,” katanya.

Program K²T merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti bagi memperkasa pembangunan kemahiran dalam kalangan keluarga anggota ATM.

Sementara itu, seorang peserta kursus, Nur Amira Shuhada Jofandi, 31, berkata peluang mengikuti kursus tersebut memberi sinar baharu buat dirinya yang sebelum ini hanya menguruskan rumah tangga.

Menurutnya, kemahiran mempelajari pembuatan kuih raya bukan sahaja menyeronokkan, malah membuka ruang untuknya memulakan perniagaan kecil dari rumah.

“Sebagai isteri anggota tentera, saya mahu membantu menambah pendapatan keluarga. Selepas belajar membuat kuih raya di sini, saya bercadang mengambil tempahan daripada jiran dan rakan-rakan.

“Walaupun kecil, saya berharap usaha ini dapat memberi sedikit sumbangan kepada keluarga dan pada masa sama meningkatkan keyakinan diri,” katanya.

Bagi Nur Amira, peluang mengikuti kursus itu bukan sekadar mempelajari resepi baharu, tetapi menjadi titik permulaan untuknya berdikari serta membantu meringankan tanggungjawab kewangan keluarga.

Katanya, ramai dalam kalangan ahli BAKAT berkongsi harapan yang sama iaitu menggunakan kemahiran dipelajari sebagai sumber rezeki tambahan demi masa depan keluarga.