SHAH ALAM - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menasihatkan mana-mana ahli DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan berhubung larangan edar komik 'Inisiatif Jalur dan Laluan' agar kembali mematuhi semangat 'rule of law' dan juga 'collective responsibility'.
Menerusi status dimuat naik di status Facebook hari ini, beliau turut menggesa pimpinan DAP untuk mendisiplinkan ahli-ahli mereka agar hormati keputusan kerajaan dan patuh terhadap perlembagaan serta undang-undang negara.
Menurutnya, kedua-dua perkara itulah disifatkan membina negara dan tindakan merendah-rendahkan parti komponen lain seperti dilakukan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu adalah tindakan biadab dan sangat tidak berasas.
"Budaya politik murahan begini hanya akan merosakkan keadaan, ia membawa lebih banyak perpecahan malah membantutkan agenda reformasi yang sedang kita laksanakan," katanya.
Kenyataan tegas beliau itu rentetan seramai 43 pemimpin akar umbi termasuk beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP beberapa hari lalu membantah keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melarang pengedaran komik 'Inisiatif Jalur dan Laluan' ke sekolah-sekolah di negara ini.
Mazlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam sekali lagi menegaskan komik propaganda politik tersebut tidak pernah mendapat kelulusan dari KPM dan tidak akan dibenarkan pengedarannya ke sekolah-sekolah di bawah kementeriannya.
"Semua sekolah yang telah menerima komik tersebut telah diarahkan untuk tidak disebarluaskan. KPM tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempergunakan sekolah sebagai alat propaganda murahan.
"Saya juga telah mengarahkan KPM untuk menyiasat segera jika terdapat mana-mana individu termasuk anggota dalaman yang bertanggungjawab membenarkan komik ini diedarkan di sekolah.
"KPM akan memastikan siapa sahaja jika terbukti benar dakwaan ini akan diberi tindakan tegas" ujarnya.

