Kerajaan bakal umum dasar pertanian pintar baharu

18 Aug 2019 • 10:55 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengumumkan dasar baharu berkaitan pertanian pintar dalam masa terdekat dalam usaha mengubah landskap pertanian tradisional kepada pertanian moden.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya sedang berunding dengan beberapa institusi kewangan bertujuan menyediakan pembiayaan bagi membantu golongan petani kecil terlibat dalam pertanian pintar.

“Perbincangan sedang dibuat untuk menyediakan bantuan kewangan berbentuk pinjaman dengan kadar faedah yang paling minima.

“Pada dasarnya ia dipersetujui namun perincian sedang dilakukan supaya institusi kewangan yang terlibat dalam sektor pertanian ini diberikan peranan untuk membiayai program pertanian pintar ini,” katanya ketika ditemui sempena World Stats (WSC) Run 2019 di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Menurutnya, perlaksanaan pertanian pintar mempunyai potensi besar dalam membantu mengembangkan sektor pertanian terutama untuk tujuan eksport.

Katanya, pendekatan baharu itu juga dapat membantu petani menyediakan peralatan yang canggih supaya tidak terlalu bergantung dengan tenaga asing.

“Import makanan negara hari ini terlalu besar. Melibatkan makanan seperti sayur, cili, halia, kobis dan ini sebenarnya boleh ditanam dalam negara.

“Alhamdulillah Malaysia ini aman, tanah kita subur cuaca kita baik, tidak ada gunung berapi atau malapetaka yang lain cuma kita mahu rakyat terutama petani diberikan latihan dan bantuan untuk terlibat dalam sektor pertanian pintar,” katanya.


View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved