KAB Gold kongsi rezeki dengan asnaf

LocalBusiness & Finance
17 Oct 2026 • 11:47 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: KAB Gold kongsi rezeki dengan asnaf

KUALA LUMPUR – KAB Goldynamics Sdn. Bhd. (KAB Gold) bukan sahaja mahu mengembangkan perniagaan emas, malah menjadikan perkongsian rezeki dengan pelanggan dan golongan memerlukan sebagai sebahagian daripada pendekatan perniagaannya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas KAB Gold, Mohamed Khairul Anuar Mohd Basri, berkata perniagaan bagi umat Islam tidak seharusnya berakhir dengan pencapaian keuntungan dan kemewahan semata-mata, sebaliknya perlu membawa manfaat kepada masyarakat.

Beliau berkata, prinsip itu mendorong syarikat berkenaan mengadakan program kebajikan sempena pembukaan cawangan baharunya di Setapak, di sini, dengan mengagihkan RM30,000 kepada 60 penerima asnaf, masing-masing menerima RM500.

Tambahnya, sumbangan berkenaan menggunakan wang pemulangan semula yang diterima daripada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

“Sebanyak 30 penerima terdiri daripada asnaf di bawah MAIWP, manakala 30 lagi daripada komuniti setempat,” katanya ketika ditemui media sempena pembukaan KAB Gold cawangan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir pendakwah selebriti, Zul Ramli M Razali.

Khairul Anuar menjelaskan bahawa usaha membantu golongan memerlukan bukan perkara baharu baginya kerana masih menyantuni kira-kira 300 asnaf di sekitar Gombak sejak zaman pengajiannya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menurutnya, usaha kebajikan itu akan diteruskan seiring perkembangan perniagaan, malah beliau menyimpan hasrat lebih besar untuk membina sebuah masjid sekiranya dipermudahkan.

KAB Gold yang kini memasuki tahun keenam operasi mempunyai dua cawangan fizikal, masing-masing di Setapak dan Bandar Permata Lunas, Kedah, selain bekerjasama dengan Sahabat Ar Rahnu (SAR) Amanah Ikhtiar Malaysia (Koperasi Sahabat) Berhad menerusi tiga pusat kutipan di Miri, Pontian dan Kuala Terengganu.

Kerjasama itu membolehkan pelanggan di lokasi berkenaan mendapatkan perkhidmatan membeli, menebus dan mengeluarkan emas KAB Gold, dengan syarikat berkenaan menyasarkan penambahan pusat kutipan melalui rangkaian SAR seluruh Malaysia.

Dalam memastikan perniagaan berjalan selari dengan prinsip Islam, KAB Gold mengamalkan pendekatan dipandu syariah yang merangkumi operasi, pemasaran dan urusan dalaman syarikat.

Bagi tujuan itu, syarikat berkenaan melantik pensyarah Universiti Malaya, Dr. Ahmad Sufian Che Abdullah, sebagai penasihat syariah untuk meneliti aspek berkaitan produk, kontrak jual beli, bahan pemasaran dan kempen perniagaan.

Pada masa sama, KAB Gold turut menawarkan pelbagai promosi kepada pelanggan, termasuk kempen Beli Emas Dapat e-MAS yang mempunyai nilai keseluruhan sekitar RM120,000 pada tahun lalu.

Khairul Anuar berkata, pembeli perlu melengkapkan diri dengan ilmu kewangan ketika menyimpan emas, khususnya dengan memberikan perhatian kepada pertambahan gram berbanding hanya memantau pergerakan harga dalam tempoh singkat.

“Nilai ihsan dalam perkhidmatan turut menjadi keutamaan syarikat bagi membina hubungan perniagaan jangka panjang,” katanya.

Pembukaan cawangan baharu itu diraikan dengan jamuan empat ekor kambing bakar sebagai tanda kesyukuran dan penghargaan kepada pelanggan serta masyarakat setempat. – KOSMO! ONLINE

The post KAB Gold kongsi rezeki dengan asnaf appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved