Kabinet Anwar azam terus bangun ekonomi negara, ‘kita tak hirau agenda politik kebencian’

Politics
17 Oct 2023 • 9:09 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau dan Jemaah Menterinya sentiasa memberi fokus untuk terus membangunkan ekonomi negara, tanpa menghiraukan anasir buruk yang cuba mengganggu gugat pentadbirannya.

Perdana Menteri berkata, sebagai pemimpin, pasukannya perlu terus bergerak ke hadapan bagi memastikan rakyat sama-sama membangun serta mendapat manfaat, menerusi pentadbiran kerajaan yang diurus secara baik dan teratur.

“Kita bernasib baik politik (di Malaysia) stabil dan Parlimen ampuh. Sekarang adalah masa untuk bekerja. Saya juga mengajak rakan Jemaah Menteri terus (jalan) ke hadapan demi memberi tumpuan dan perhatian untuk sama-sama terus membangunkan ekonomi negara.

“Disebabkan itu konsep Madani ditekankan (dalam pemerintahan saya) kerana amanah itu, adalah perkara penting lebih-lebih lagi bagi penjawat awam dan dalam mana-mana pengurusan profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran unit tambahan skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Anwar turut memaklumkan rakyat Malaysia kini sudah semakin celik dan menolak politik kebencian serta perkauman yang sering diuar-uarkan musuh politik.

“Saya percaya dukungan dalam kalangan rakyat, terutama anak-anak muda yang semakin mengerti bahawa Malaysia sudah sampai tahap di mana politik picisan, kebencian, perkauman dan fahaman agama sempit ditinggalkan serta membawa agenda baharu untuk mengangkat martabat negara ini.

“Kalau ada semangat begini, saya percaya kita ada harapan untuk melakar sejarah baharu,” katanya. - 17 Oktober, 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved