Kabinet Bersetuju Syor Untuk Laksanakan Pindaan Ke Atas PPKB (Pindaan) 2021

LocalPolitics
5 Jun 2025 • 5:43 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Kabinet Bersetuju Syor Untuk Laksanakan Pindaan Ke Atas PPKB (Pindaan) 2021

Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini telah meluluskan syor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya dilaksanakan pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021 yang sebelum ini telah diluluskan oleh pentadbiran Kerajaan lalu dan
telah berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021.

PPKB (Pindaan) 2021 tersebut telah menetapkan sekatan had kepada peniaga bagi pemilikan dan penggunaan Gas Petroleum Cecair (LPG) melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa yang memerlukan kepada Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).

Antara teras kepada pindaan yang akan dibuat adalah:

(i) mengambil kira keperluan peniaga jualan makanan dan minuman berskala mikro dan kecil secara bersasar;

(ii) mewujudkan kejelasan undang-undang (clarity of law) untuk
memastikan keberkesanan pematuhan dan penguatkuasaan.

Jemaah Menteri juga bersetuj dengan syor agar semakan dan pindaan kepada PPKB (Pindaan) 2021 ini diselaraskan oleh Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) KPDN dan turut melibatkan kementerian dan agensi berkaitan selain mendapatkan syor dan pandangan
daripada pelbagai pemegang taruh.

Penggunaan tong gas bersubsidi tidak melebihi 42 kilogram atau 3 tong gas bersubsidi bersaiz 14 kilogram pada satu-satu masa tidak tertakluk kepada syarat memiliki Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB);

Pemeriksaan penguat kuasa KPDN di premis-premis jualan makanan dan minuman kini adalah pada peringkat advokasi, semakan dan pemakluman tanggungjawab pematuhan kepada undang-undang dan peraturan sedia ada termasuk PPKB (Pindaan) 2021 yang berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021. Sepanjang tempoh OPS GASAK, tidak ada sebarang tindakan undang-undang diambil kepada perniagaan perkhidmatan jualan makanan dan minuman berhubung keperluan memiliki Permit Barang Kawalan Berjadual bagi LPG;

Mana-mana perniagaan yang menggunakan LPG melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa adalah dinasihati untuk membuat permohonan Permit Barang Kawalan Berjadual. Permohonan boleh dibuat melalui Business Licensing Electronic Support System (BLESS) 2.0. Selain itu, pihak-pihak yang berkenaan juga boleh merujuk kepada KPDN Negeri dan Cawangan berdekatan untuk
mendapatkan panduan dan penerangan lanjut.

Pada masa yang sama, sepanjang tempoh OPS GASAK, para pembekal LPG dibenarkan untuk terus membuat pembekalan tong LPG bersubsidi kepada pelanggan sedia ada termasuk para peniaga perkhidmatan jualan makanan dan minuman sungguhpun mereka belum memiliki Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).

Sebarang pertanyaan berhubung pelaksanaan perkara ini boleh disalurkan melalui pesanan aplikasi WhatsApp ke nombor 019-641 6768.