Kabinet lulus SEGiM, jaga kebajikan pekerja gig - TPM

LocalPolitics
6 Mar 2026 • 9:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Zahid. Foto Bernama

MELAKA - Kabinet telah meluluskan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) minggu lepas sebagai usaha kerajaan menjaga kebajikan lebih 1.2 juta pekerja gig di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, SEGiM juga akan bertanggungjawab mengawal selia Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang diluluskan di Dewan Rakyat pada tahun lepas.

Beliau berkata, suruhanjaya juga akan mencari kaedah bagi membantu golongan pekerja gig, terutama mereka yang tidak mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Maka kerajaan akan mencari cara supaya caruman boleh dibuat sahaja oleh pekerja tetapi juga oleh pihak penyedia perkhidmatan. Mereka (pekerja gig) tiada majikan tetap, sebaliknya hanya penyedia perkhidmatan. Aspek inilah yang akan menjadi antara fokus utama tata kerja SEGiM ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Iftar Jamaie Mega Kerajaan Negeri Melaka yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama kira-kira 3,000 tetamu di Dataran Pusat Islam, Masjid Al-Azim di Bukit Palah di sini pada Jumaat.

Ahmad Zahid berkata, SEGiM juga akan menyelaras kadar upah minima mengikut perbatuan, yang berbeza bagi setiap penyedia perkhidmatan.

"Selain itu, suruhanjaya turut memberi perhatian kepada aspek upskilling dan reskilling melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya selepas tamat pekerjaan sementara, mereka berpeluang mendapatkan pekerjaan tetap menerusi latihan kemahiran tersebut.

"Ini tentunya penyediaan laluan kerjaya yang lebih baik dalam bidang teknikal dan menjamin masa depan keluarga mereka,” katanya. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved