Kabinet putuskan isu disiplin dan keselamatan pelajar hari ini: PM

LocalPolitics
17 Oct 2025 • 2:21 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akan membuat keputusan mengenai isu disiplin dan keselamatan membabitkan pelajar sekolah hari ini, susulan laporan beberapa insiden tidak wajar sejak kebelakangan ini.

Perdana Menteri berkata, semalam beliau sudah mengadakan perbincangan ringkas bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengenai perkara itu.

"Kita akan bincang di peringkat Kabinet secara terperinci… tadi saya sudah bincang sedikit dengan menteri (Fadhlina), esok (hari ini) kita buat keputusan," katanya ketika diminta mengulas mengenai reformasi pendidikan berikutan laporan beberapa kes rogol, bunuh dan buli di beberapa sekolah.

Anwar ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Asean (AMEM) ke-43, mesyuarat-mesyuarat berkaitan dan Forum Perniagaan Tenaga Asean 2025 (AEBF-25) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata langkah tegas bagi menangani isu disiplin dan keselamatan di sekolah yang memerlukan intervensi segera, akan dibincang oleh Jemaah Menteri.

Beberapa insiden serius membabitkan pelajar sekolah kebelakangan ini dilaporkan termasuk kes bunuh di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya serta kes rogol berkumpulan membabitkan beberapa pelajar di Melaka dan Kedah.

Peningkatan kes buli di sekolah juga turut mendapat perhatian apabila data Kementerian Pendidikan menunjukkan sejumlah 7,681 kes direkodkan tahun lalu berbanding 6,528 pada 2023. – 17 Oktober, 2025

The post Kabinet putuskan isu disiplin dan keselamatan pelajar hari ini: PM appeared first on Scoop.