PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] Jemaah Menteri memutuskan bahawa tindakan lanjut berhubung siasatan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan dilaksanakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Kabinet telah menerima dan membincangkan hasil laporan Jawatankuasa Khas yang menyiasat perkara itu pada hari ini.
"Saya tidak nyatakan apa hasil laporan itu memandangkan ada langkah seterusnya yang perlu dilaksanakan oleh Tan Sri KSN. Untuk maklumat lanjut, kita tunggu kenyataan KSN," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet Bangunan Perdana Putra pada Rabu.
Menurutnya, tindakan yang diputuskan turut akan diumumkan oleh Shamsul dalam masa terdekat.
"Tidak dibincangkan tarikh khusus tetapi saya percaya dalam masa yang tidak terlalu lama," katanya.
Terdahulu, kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Azam.
Ia susulan laporan Bloomberg mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam pada sidang media baru-baru ini menegaskan, pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Mengulas mengenai manipulasi korporat yang dikaitkan dengan SPRM, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa siasatan terhadap beberapa individu sebenarnya telah dimulakan beberapa tahun lalu.
"Maka arahan yang diberikan oleh Jemaah Menteri kepada badan-badan penguatkuasaan yang meliputi Polis Dirajaya Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah untuk meneruskan siasatan secara menyeluruh tidak terhad kepada individu.
"Pada waktu ini, siasatan awal tertumpu dengan mengambil tindakan perundangan yang bersesuaian termasuk sitaan hasil yang dipercayai bersifat ataupun mungkin mempunyai elemen jenayah selain meneliti sekiranya wujud sebarang kelompangan dalam undang-undang sedia ada yang memungkinkan tindakan-tindakan dipercayai bersifat manipulasi koprat berlaku," katanya.
Selepas beberapa hari mendedahkan pemilikan saham Azam, Bloomberg mendakwa mengenai kewujudan gejala mafia korporat dengan menyediakan 'perkhidmatan' intimidasi bagi memaksa pengambilalihan syarikat.
Laporan itu turut mendakwa, wujud rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM yang menggunakan serbuan serta siasatan untuk memberi tekanan kepada eksekutif supaya menjual pegangan saham dalam syarikat disasarkan.
Sementara itu, Fahmi turut mengesahkan mesyuarat Kabinet tidak membincangkan kontrak perkhidmatan Azam yang akan tamat pada 12 Mei ini.
