
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak semalam (19 Mei) tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki yang memaklumkan menerima kad ‘janji temu’ yang sebenarnya kad pemantauan pesakit denggi dari sebuah klinik kesihatan dalam bahasa Mandarin serta mempersoalkan mengapa kad terbabit tidak menggunakan Bahasa Melayu. Dia juga mengatakan hal itu tidak sepatutnya dipolitikkan.
Susulan itu, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) tampil menjelaskan terdapat kesilapan pemberian kad berhubung kad pemantauan pesakit denggi di Klinik Kesihatan Setapak.
Gesa isu kad janji temu bahasa Mandrin tak dipolitikkan tetapi lihat konteks keselamatan pesakit
Terbaharu Timbalan Ketua Cabang Keadilan Kepong, Jeremy Ang menegaskan isu kad berkenaan tidak wajar untuk dipolitikkan dan meminta ia dilihat dalam konteks keselamatan pesakit serta keberkesanan penyampaian maklumat kesihatan awam.
Jeremy Ang menjelaskan dia mengambil maklum berhubung bantahan yang dilakukan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) ke atas klinik berkenaan.
Menurut Jeremy sebagai salah seorang kontributor yang terbabit secara langsung dalam penggubalan Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dia ingin menegaskan isu kesihatan awam tidak sepatutnya dipolitikkan.
Kad janji temu adalah instrumen penting untuk pastikan kesinambungan rawatan pesakit
Sifatkan tanggungjawab utama sektor kesihatan adalah:
- Selamatkan nyawa
- Sampaikan maklumat perubatan dengan tepat dan jelas tanpa kira latar belakang
“Tanggungjawab utama sektor kesihatan adalah untuk menyelamatkan nyawa dan menyampaikan maklumat perubatan yang tepat, jelas dan berkesan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Buku temu janji KKM berfungsi sebagai instrumen penting dalam memastikan kesinambungan rawatan pesakit. Dalam konteks klinik komuniti seperti Klinik Kesihatan Sri Rampai, pendekatan ini amat penting bagi menyokong kumpulan sasar berisiko, ‘Pesakit denggi bagi janji temu susulan untuk pemantauan hematokrit, kiraan platelet dan tanda amaran (warning signs),'” ujarnya di Facebook.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Tular Kad Pesakit Dalam Bahasa Cina, Jabatan Kesihatan Mohon Maaf & Tampil Beri Penjelasan [Video]
Ada beberapa negara maju lain turut menggunakan multibahasa dalam sektor kesihatan
Tambahnya Malaysia juga tidak bersendirian dalam melaksanakan pendekatan tersebut, malah negara-negara maju sudah lama mengamal dasar multibahasa dalam sektor kesihatan untuk memastikan keselamatan pesakit serta kecekapan sistem penjagaan kesihatan.
Antara negara yang menggunakan multibahasa dalam sektor kesihatan seperti:
- Singapura menggunakan empat bahasa rasmi dalam semua kempen kesihatan awam dn bahan literasi hospital bagi mengelakkan jurang maklumat etnik.
- Australia menyediakan perkhidmatan penterjemahan yang komprehensif dan bahan kesiahtan dalam pelbagai bahasa bagi menjamin akses kesihatan yang saksama.
- Amerika Syarikat melalu Akta Hak Sivil, mewajibkan kemudahan kesihatan yang menerima dana persekutuan menyediakan perkhidmatan akses bahasa bagi mengelakkan kesilapan rawatan yang berpotensi membawa maut.
“Sekiranya negara-negara lain dapat menyesuaikan komunikasi demi menyelamatkan nyawa, tidak wajar untuk Malaysia mengambil langkah ke belakang hanya kerana pertimbangan politik yang sempit.
“Penyakit, virus dan kecemasan perubatan tidak mengenal kaum, agama atau fahaman politik. Kegagalan pesakit menghadiri temu janji akibat kekeliruan bahasa boleh memberi implikasi serius, termasuk peningkatan beban kepada sistem kesihatan negara,” ujarnya.
Minta PERKASA henti usaha politikan isu teknikal bawah KKM
Oleh itu, Jeremy Ang meminta PERKASA untuk menghentikan usaha mempolitikkan isu teknikal di bawah KKM.
Kata beliau lagi, kesihatan awam bukan ruang untuk polemik politik dan biarkan para profesional kesihatan serta penggubal dasar melakukan tanggungjawab untuk kesejahteraan dan keselamatan rakyat di negara ini.
Sebelum ini, seorang pengamal perubatan turut menyifatkan isu ini tidak wajar dipolitikkan memandangkan kegunaan kad pelbagai bahasa sudah lama digunakan oleh petugas kesihatan.
Jelasnya, kad tersebut bertujuan memudahkan agar para pesakit tahu tanda-tanda bahaya denggi dalam bahasa yang mudah difahami.
PERKASA buat bantahan keras tindakan Klinik Kesihatan Sri Rampai keluar buku janji temu bahasa Mandrin
Terdahulu PERKASA telah mengemukakan bantahan keras terhadap klinik tersebut yang didakwa mengeluarkan buku janji temu kesihatan menggunakan bahasa Mandrin tanpa ada terjemahan bahasa Melayu.
Jelas Pemangku Presiden PERKASA, Borhan Ahmad Zakaria perkara itu disifatkan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta menjejaskan hak rakyat dalam mendapatkan perkhidmatan awam secara adil.
Sifatkan penggunaan bahasa Mandrin sepenuhnya dalam dokumen rasmi tak wajar
Katanya penggunaan bahasa itu secara sepenuhnya dalam dokumen rasmi klinik kerajaan adalah tidak wajar.
Ini kerana bahasa Melayu adalah bahasa rasmi kebangsaan seperti dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
“Semua urusan rasmi kerajaan termasuk dokumen dan rekod pesakit di fasiliti kesihatan awam yang dibiayai wang rakyat wajib menggunakan bahasa Melayu.
“Sejak bila Mandarin menjadi bahasa kebangsaan? Malaysia bukan China. Kita ada satu bahasa kebangsaan dan itu bahasa Melayu,” ujarnya, dipetik Malaysia Gazette.
Selain itu, pihaknya juga menggesa pihak klinik untuk menghentikan segera penggunaan buku janji temu yang hanya mengandungi bahasa Mandarin serta menggantikan buku itu dengan versi dwibahasa dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.

