Kad Grafik AMD Radeon RX 7700 XT Dan RX 7800 XT Kini Ditawarkan Pada Harga Permulaan RM2299

TechnologyDigital
7 Sep 2023 • 2:51 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

AMD akhirnya telah melancarkan dua buah kad grafik kelas pertengahan mereka, iaitu AMD Radeon RX 7700 XT dan juga AMD Radeon RX 7800 XT ke pasaran global, termasuklah Malaysia.

Kedua-dua kad grafik ini dikuasakan oleh cip grafik Navi 32 yang baru, dengan cip pemprosesan grafik “Graphics Compute Die” yang dibina menggunakan proses 5nm dan empat memory cache die yang dibangunkan dengan proses 6nm.

image is not available

Kad grafik AMD Radeon RX 7800 XT hadir dengan 60 Compute Unit yang terdiri daripada 3840 pemproses strim, 120 pemecut AI, 60 pemecut RT, 64MB Infinity Cache dan juga 16GB memori GDDR6. Ia mempunyai kelajuan Game Clock sepantas 2124 MHz dan Boost Clock pada 2430 MHz.

Kad grafik AMD Radeon RX 7700 XT pula hadir dengan 54 Compute Unit yang terdiri daripada 3456 pemproses strim, 108 pemecut AI, 54 pemecut RT dan 48MB memori Infinity Cache. Ia juga tampil dengan 12GB memori GDDR6 dan mempunyai kelajuan Game Clock sepantas 2171MHz dan 2544 MHz pada kelajuan lewahjam Boost Clock.

image is not available

Kelebihan yang diperlihatkan pada kedua-dua kad grafik ini hadir melalui jumlah memori yang hadir, iaitu 16GB pada kad grafik Radeon RX 7800 XT dan 12GB pada Radeon RX 7700 XT.

AMD mengatakan bahawa RX 7800 XT hadir dengan kelebihan berbanding NVIDIA GeForce RTX 4070 dari segi prestasi dalam julat 2-23 peratus bergantung kepada permainan komputer pada resolusi 1440p dan tetapan tinggi.

image is not available

Radeon RX 7700 XT pula dijangka mempunyai penambahbaikan berbanding NVIDIA GeForce RTX 4060Ti dalam julat 1-31 peratus bergantung kepada permainan-permainan komputer yang digerakkan.

Kad-kad grafik AMD Radeon RX 7700 XT dan RX 7800 XT sudahpun mula dijual di pasaran global, dan untuk Malaysia, AMD mengumumkan bahawa kad grafik ini akan mula ditawarkan pada harga permulaan RM2299 untuk model RX 7700 XT dan RM2499 untuk kad grafik RX 7800 XT.

Kad-kad grafik yang dijual di pasaran tempatan dijangka akan dijual melalui pengedar pengeluar kad grafik lain seperti ASUS, MSI, PowerColor dan sebagainya.