Kad Grafik NVIDIA Diubahsuai Dengan Memori Lebih Besar – Digunakan Untuk Ladang AI

TechnologyDigital
12 Aug 2024 • 3:43 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Di China, ubahsuai kad grafik NVIDIA untuk digunakan di pusat data bukanlah sesuatu yang baru. Diantara cara yang digunakan oleh syarikat-syarikat teknologi untuk melepasi sekatan ekonomi yang dikenakan oleh kerajaan Amerika Syarikat ialah untuk membeli kad grafik pengguna dan mengubahsuainya dengan jumlah memori yang lebih banyak.

Baru-baru ini, ia telah dilaporkan oleh media China bahawa terdapat pusat data yang telah mula “menyewa” kad-kad grafik yang diubahsuai ini, termasuklah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090 48GB dan NVIDIA GeForce RTX 4080 Super 32GB.

Kad-kad grafik ini nampaknya “disewa” di sebuah pusat data di China, dan secara lazimnya digunakan untuk tujuan pemprosesan tugas-tugas AI yang memerlukan kad grafik dengan kapasiti memori yang jauh lebih besar dari yang biasa diperlukan untuk tujuan mengolah grafik permainan ataupun video.

image is not available

Secara ringkasnya, memori GDDR6X dan GDDR6 yang digunakan pada kad-kad grafik ini dicabutkan, dan dengan menggunakan papan litar yang berbeza, memori-memori baru ditambahkan dan kemudian dipaterikan kepada papan litar kad grafik tersebut.

Seperti yang pernah kami laporkan juga sebelum ini, ubahsuai atau penambahan memori pada kad grafik bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan, kerana ia perlu mengambilkira pelbagai aspek seperti voltan, jumlah tenaga elektrik yang diperlukan dan juga lokasi memateri memori ini supaya ia boleh diakses oleh komponen GPU dengan cekap.

Jika anda mahu tahu bagaimana kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090 digunakan untuk ubahsuai ini, pengubahsuai ini dilaporkan menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090D yang dijual khusus untuk pasaran China, dan mengubahsuai memori VRAM melalui langkah-langkah yang dikatakan tadi.