Kad Touch 'n Go habis tapi dijual mahal di platform e-dagang

12 Aug 2022 • 9:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kad baharu Touch 'n Go. - Gambar hiasan.

SELAIN petrol, satu lagi yang menjadi keperluan bagi pengguna kereta terutama di Lembah Klang ialah kad Touch 'n Go. Apabila plaza tol kini tidak menerima wang tunai, penggunaan kad Touch 'n Go sudah begitu meluas. Selain tol, kad itu diperlukan untuk bayaran letak kereta di pusat beli-belah. Bahkan, boleh juga digunakan untuk membeli barang-barang. Disebabkan itu, setiap hari Merak Jalanan akan memastikan baki kad Touch 'n Go sentiasa mencukupi. Mungkin ramai tidak tahu, kad Touch 'n Go mempunyai jangka hayat selama 10 tahun. Selepas tempoh tersebut, kad itu tidak boleh digunakan lagi. Pengguna perlu menggantikannya dengan baki wang dipindahkan ke kad baharu yang boleh dibeli dengan harga RM10. Namun, baru-baru ini Merak Jalanan dengar rungutan orang ramai yang sukar untuk mendapatkan kad Touch 'n Go baharu. Bukan sahaja kehabisan stok di lokasi yang ditentukan, jualan menerusi dalam talian juga tertera perkataan ‘pending’. Tinjauan Merak Jalanan di media sosial juga mendapati ramai pengguna kecewa kerana sukar untuk mendapatkan kad Touch 'n Go baharu. Merak Jalanan terfikir, adakah ia sengaja dilakukan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID). Sebelum ini pun ada kenyataan bahawa penggunaan Touch 'n Go akan dimansuhkan di semua tol secara berperingkat. Cuma yang peliknya, kad baharu Touch 'n Go dijual dengan begitu meluas menerusi platform e-dagang tetapi harganya jauh lebih tinggi sehingga mencecah RM95 sekeping. Melampau! Merak Jalanan rasa pihak berkaitan perlu menyiasat perkara itu. Adakah mungkin wujud pihak mengambil kesempatan membeli secara borong dan menjualnya kepada orang ramai dengan harga tinggi. Tapi kalau betul ia sebagai strategi untuk mansuhkan kad Touch 'n Go secara berperingkat, Merak Jalanan tidak bersetuju. Kenapa perlu mansuhkan perkhidmatan yang sudah cukup efisien?