Kadar AFA bagi April diumum dengan rebat elektrik sedikit rendah

LocalBusiness & Finance
31 Mar 2026 • 10:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
AFA tidak terpakai kepada pengguna domestik bawah 600 kWj dengan bil RM215.98. Foto X TNB

KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengumumkan kadar Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) bagi April, dengan pengguna bakal menerima rebat yang sedikit rendah kepada 0.47 sen bagi setiap kilowatt jam (kWj).

Dalam hantaran di ‘X’, TNB berkata, AFA bagaimanapun tidak tertakluk kepada pelanggan domestik dengan penggunaan 600 kWj dan ke bawah iaitu dengan jumlah bil kira-kira RM215.98. 

Sementara itu, menerusi laman sesawangnya, TNB memaklumkan AFA akan tertera setiap bulan dalam bil elektrik sekiranya terdapat perubahan pada harga pasaran bahan api dan kadar pertukaran mata wang asing.

Syarikat utiliti itu juga memberitahu unjuran kadar AFA untuk tiga bulan bagi Mei (-0.39 sen/kWj), Jun (-0.91 sen/kWj) dan Julai (+0.08 sen/kWj) yang dikemas kini setakat 30 Mac, 2026.

"Pengisytiharan kadar AFA (dalam unit sen/kWj) adalah berdasarkan pengesahan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) atau seperti yang dimaklumkan secara rasmi melalui keputusan Menteri," katanya.

AFA merupakan mekanisme yang diselaraskan berdasarkan kos pasaran bahan api (gas, arang batu dan lain-lain) dan kadar pertukaran asing, menggantikan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebelum ini, yang digunakan sebagai mekanisme untuk mengira bil elektrik.

Pada 9.23 malam, harga minyak mentah Brent meningkat 4.10 peratus kepada AS$117.4 setong. - Bernama