
Kadar Inflasi Rasmi Turkiye Naik Melebihi 80 Peratus, Tertinggi Sejak 1998
Kadar inflasi rasmi Turkiye melonjak melepasi angka 80 peratus bulan lepas, buat kali pertama sejak 1998, ketika penggubal polisi negara itu sebelum ini menegaskan bahawa kenaikkan harga barang yang dialaminya akan mula perlahan.
Menerusi data yang dikeluarkan oleh kerajaan, negara itu mencatatkan indeks harga pengguna pada 80.2 peratus pada Ogos. Ia merupakan paras tertinggi yang pernah dicatatkan sejak Recep Tayip Erdogan menjawat jawatan Presiden Turkiye, kira-kira 20 tahun lalu. Pada Julai, indeks harga pengguna yang dicatatkan adalah 79.6 peratus.
Jurucakap kerajaan sebelum ini menegaskan, dengan pelaksanaan model ekonomi baharu, kadar inflasi tinggi yang sedang dialami akan mula menunjukkan penurunan menjelang bulan-bulan akhir 2022. Mengikut ramalan yang dibuat, inflasi negara itu akan menurun kepada kadar 65 peratus.
”Kami akan mengusir kadar inflasi tinggi negara ini dan ia tidak akan kembali lagi,” tegas Nureddin Nebati, Menteri Kewangan negara itu dalam satu hantara di Twitter baru-baru ini.
Menurut laporan Financial Times, anggota kerajaan berharap langkah-langkah yang diambil mampu mengurangkan inflasi sekaligus dapat memberikan kelebihan kepada kempen Erdogan. Presiden itu akan menempuhi pilihan raya semula yang dijangka diadakan pada Jun 2023.
Peningkatan kadar inflasi dan penurunan ketara nilai watawang Lira menjejaskan kualiti hidup warga Turkiye. Pemerhati melihat keadaan ini menyebabkan keyakinan orang ramai terhadap pemerintahan Erdogan terjejas.
BACA: Remaja Cedera Parah, Tular Rakaman Dihentam Kereta Api Ketika Buat “Content” Berjalan Tepi Trek
Sumber: Financial Times
The post Kadar Inflasi Rasmi Turkiye Naik Melebihi 80 Peratus, Tertinggi Sejak 1998 appeared first on Siakap Keli.

