Kadar kemiskinan tahap minimum paling mencabar - Papparaidu

LocalPolitics
30 Apr 2026 • 4:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kadar kemiskinan tahap minimum paling mencabar - Papparaidu
Usaha untuk mencapai sifar kemiskinan secara keseluruhan di Selangor disifatkan sebagai mencabar, namun kerajaan negeri yakin sasaran itu mampu direalisasikan melalui kerjasama berterusan semua pihak. Gambar kecil: Papparaidu

SHAH ALAM – Usaha untuk mencapai sifar kemiskinan secara keseluruhan di Selangor disifatkan sebagai mencabar, namun kerajaan negeri yakin sasaran itu mampu direalisasikan melalui kerjasama berterusan semua pihak.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Papparaidu Veraman berkata, pencapaian semasa menunjukkan perkembangan positif apabila kadar kemiskinan tegar kini berada pada sifar.

Beliau memberitahu, kadar kemiskinan keseluruhan turut menurun kepada kira-kira 8.4 hingga 8.5 peratus berbanding 18 peratus sebelum ini.

"Usaha bersepadu melibatkan pelbagai agensi dan sokongan kerajaan Persekutuan serta negeri menjadi faktor utama kepada penurunan tersebut termasuk pelaksanaan inisiatif kebajikan seperti program bantuan komuniti.

"Kita menyambut baik kenyataan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), namun paling penting, miskin tegar kini sifar berdasarkan data dinamik semasa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Papparaidu memaklumkan, meskipun pencapaian itu membanggakan, cabaran lebih besar kini adalah untuk menurunkan lagi kadar kemiskinan keseluruhan sehingga ke tahap minimum.

"Usaha untuk mencapai sifar kemiskinan keseluruhan ini memang mencabar, tetapi kita yakin ia boleh direalisasikan dengan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan kepimpinan akar umbi,” ujarnya.

Papparaidu berkata, antara penyumbang utama kepada kejayaan semasa termasuk kerjasama agensi Lembaga Zakat Selangor, pelaksanaan Inisiatif Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) serta pelbagai program bantuan rakyat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat termasuk pegawai daerah dan ketua kampung yang membantu pelaksanaan program bantuan termasuk pembinaan serta baik pulih rumah untuk golongan terkesan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata program Sejati MADANI yang diperkenalkan ICU turut memberi impak positif dalam membantu meningkatkan ekonomi komuniti setempat.

Terdahulu, Perdana Menteri pada Khamis memaklumkan, kemiskinan tegar di Selangor telah dinoktahkan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan yang berkesan.

Anwar berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya dalam Mesyuarat Pembangunan Daerah Petaling yang beliau pengerusikan di Shah Alam pada Rabu.