
PETALING JAYA: Kadar pengangguran dijangka kekal dalam julat 2.9 hingga 3.1 peratus sehingga Disember ini dengan turun naik kecil secara bermusim pada suku keempat berikutan pengambilan pekerja bagi tempoh akhir tahun dan cuti sekolah.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kadar pengangguran sukar kembali kepada 2.8 peratus berikutan trend sejak Mei lalu yang meningkat daripada 2.9 kepada 3.0 peratus, manakala peningkatan mendadak kepada 3.3 peratus juga tidak dijangka kecuali berlaku kejutan luaran yang besar.
Menurutnya, prestasi sektor perkhidmatan yang terus kukuh menjadi antara faktor utama yang menyokong pasaran buruh, khususnya subsektor kesenian, hiburan dan rekreasi, penginapan serta makanan dan minuman, selain kewangan dan takaful.
“Pertumbuhan sektor berkenaan disokong aktiviti pelancongan domestik serta Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Selain itu, pelaburan dan sektor perkilangan, khususnya semikonduktor dan pusat data, masih rancak.
“Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut menunjukkan kekosongan jawatan masih sekitar 195,000 yang menjadi penampan kepada kadar pengangguran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pertumbuhan tenaga buruh yang lebih perlahan turut membantu mengehadkan tekanan terhadap pasaran pekerjaan, dengan kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) kekal pada 70.9 peratus.
Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa risiko yang boleh menyebabkan kadar pengangguran meningkat kepada 3.1 hingga 3.2 peratus menjelang akhir tahun.
“Antaranya ialah kemasukan kira-kira 150,000 graduan institusi pengajian tinggi awam dan swasta ke pasaran pekerjaan antara Ogos hingga Oktober setiap tahun.
“Ini dapat dilihat apabila kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 30 tahun meningkat daripada 6.3 kepada 6.4 peratus,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob pula menjangkakan kadar pengangguran sekitar 2.9 peratus hingga 3.0 peratus sehingga hujung tahun dengan tiada peningkatan mendadak dalam tempoh terdekat.
Katanya, perhatian perlu diberikan kepada pengangguran belia kerana kadar bagi kumpulan umur 15 hingga 24 tahun masih berada pada 10.2 peratus.
“Ini menunjukkan cabaran utama pasaran buruh semakin beralih daripada isu kuantiti pekerjaan kepada kualiti pekerjaan dan padanan kemahiran.
“Justeru, peningkatan kemahiran digital, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kemahiran profesional serta latihan berasaskan industri perlu diperkukuh supaya pertumbuhan pekerjaan benar-benar dapat dinikmati tenaga kerja baharu,” katanya.
Beliau berkata, kadar pengangguran 3.0 peratus pada Julai menunjukkan pasaran buruh Malaysia masih berada dalam keadaan stabil dan berdaya tahan.
“Walaupun jumlah penganggur meningkat sedikit kepada 520,300 orang, jumlah pekerjaan pada masa sama turut meningkat kepada 16.85 juta orang.
“Ini menunjukkan peningkatan jumlah penganggur bukan semata-mata disebabkan kehilangan pekerjaan, sebaliknya turut mencerminkan pertambahan individu yang aktif memasuki pasaran buruh,” katanya. – UTUSAN
The post Kadar pengangguran dijangka 2.9-3.1 peratus hingga akhir tahun appeared first on Utusan Malaysia.






