Kadar pengangguran rendah tidak gambarkan realiti pasaran buruh

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 9:46 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kadar pengangguran rendah tidak gambarkan realiti pasaran buruh

KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran kekal rendah pada 3.0 tahun lalu berbanding 3.2 pada 2024 tidak menggambarkan sepenuhnya landskap pasaran buruh negara.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, landskap pasaran buruh semasa perlu dilihat bersekali dengan indikator lain, seperti komposisi pekerjaan mahir dan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran.

“Bagi tahun 2025, komposisi pekerja mahir mencatatkan 30.1 peratus, manakala kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran adalah sebanyak 35.6 peratus.

“Angka ini menunjukkan bahawa terdapat isu struktur dalam pasaran buruh dan berlaku situasi di mana terdapat individu, termasuk dalam kalangan graduan yang bekerja di bawah kelayakan dan menerima gaji yang rendah.

“Dalam bahasa kebanyakan, isu ini disebut sebagai ketidaksepadanan pekerjaan (job mismatch),” katanya dalam jawapan bertulis di dalam laman sesawang Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) yang meminta menteri menyatakan adakah kementerian bersetuju bahawa kadar pengangguran 3.0 peratus sahaja tidak menggambarkan sepenuhnya keadaan pasaran pekerjaan sekiranya semakin ramai rakyat terpaksa menerima pekerjaan bergaji rendah atau bekerja di bawah kelayakan mereka bagi menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, bagi menangani ketidaksepadanan pekerjaan, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) memberi tumpuan kepada industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), terutama yang dipacu oleh inovasi, pendigitalan, penggunaan teknologi termaju dan aktiviti berintensiti pengetahuan.

“Langkah ini akan menyumbang kepada sasaran kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran kepada 30 peratus, gaji penengah bulanan sebanyak RM3,500 dan komposisi tenaga kerja mahir kepada 35 peratus pada tahun 2030,” katanya.

Menyedari cabaran dalam pasaran buruh, katanya lagi, kerajaan giat melaksanakan reformasi ke atas pasaran buruh sebagaimana digariskan dalam RMK13.

“Inisiatif yang dilaksanakan, termasuklah mempercepat penyelarasan gaji bagi mengurangkan jurang gaji dan meningkatkan bahagian pampasan pekerja (CE) serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, bermatlamat untuk memastikan rakyat mendapat pekerjaan dengan gaji yang bermaruah.

“Selain itu, kerajaan juga akan terus berusaha dalam meningkatkan gaji pekerja melalui pelaksanaan Dasar Gaji Progresif, Perintah Gaji Minimum serta gaji kehidupan wajar (living wage) bagi menangani kos sara hidup,” katanya. – UTUSAN

The post Kadar pengangguran rendah tidak gambarkan realiti pasaran buruh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved