Kadar RMT Dinaikkan, Peruntukan Program Makanan Prasekolah Turut Ditambah

LocalPolitics
24 Feb 2023 • 8:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kerajaan telah menambah peruntukan bagi kadar makanan bermasak untuk RMT daripada RM625 juta kepada RM777 juta tahun ini. - Gambar fail

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan penambahan peruntukan bagi kadar makanan bermasak untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) daripada RM625 juta kepada RM777 juta tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan peruntukan itu yang bertujuan menampung kos menyediakan makanan berkhasiat kepada murid, bakal memanfaatkan 700,000 murid.

“Sebagai tambahan, peruntukan untuk Program Makanan Prasekolah Kementerian Pendidikan (KPM) ditingkatkan daripada RM89 juta kepada RM108 juta, bagi memberi manfaat kepada lebih 240,000 murid prasekolah.

“Pemantauan akan dibuat kepada penyedia makanan untuk memastikan makanan disediakan adalah berkualiti dan berkhasiat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

image is not available
Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas pembentangan Belanjawan 2023 di sini, hari ini. - Gambar oleh Abd Razak Latif

Terdahulu, Belanjawan 2023 kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 7 Oktober tahun lalu yang dibentangkan Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz merangkumi persetujuan untuk kadar RMT bagi murid sekolah rendah, dinaikkan kepada RM3.50 di Semenanjung dan RM4 di Sabah, Sarawak serta Labuan.

Kadar baharu dikuatkuasakan pada Oktober tahun lalu itu bagi menggantikan kos semasa iaitu RM2.50 bagi murid di Semenanjung dan RM3.00 di Sabah, Sarawak serta Labuan.

Isu RMT mula kecoh diperkatakan susulan pendedahan warganet menerusi media sosial yang menunjukkan hidangan disediakan amat sedikit dan kurang berkhasiat. – Getaran, 24 Februari 2023