Kadet PALAPES Maut: Mahkamah Tinggi Benarkan Inkues

LocalPolitics
20 Nov 2025 • 3:35 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membenarkan inkues susulan kematian Pegawai Kadet Unit Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Muhammad Amir Rusyaidi Muhamad Zaidi, November tahun lalu.

Bagaimanapun, Hakim Roszianayati Ahmad menolak permohonan untuk menggali semula kubur Allahyarham di Tanah Perkuburan Taman Firdaus, Kampung Sungai Lang, Banting, Kuala Langat. 

Keputusan tersebut dibuat selepas meneliti notis usul, afidavit, serta hujahan pihak-pihak terlibat.

Roszianayati turut mengarahkan polis membuka semula siasatan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa. 

Dalam prosiding tersebut, beliau berkata, tiada percanggahan mengenai punca kematian sehingga kubur mangsa perlu digali semula untuk bedah siasat kedua.

“Punca kematian telah dikenal pasti melalui pemeriksaan dan rawatan oleh pasukan perubatan Hospital Shah Alam, iaitu strok haba yang mengakibatkan kegagalan pelbagai organ,” katanya.

Beliau menambah, mangsa dibawa ke hospital pada jam 5 petang, 10 November 2024 dan meninggal dunia selepas tiga hari menerima rawatan. 

Pelbagai pemeriksaan klinikal mendapati mangsa mengalami dehidrasi teruk yang turut menjejaskan organ dalaman lain.

“Tiada kecederaan fizikal lain ditemui kecuali tanda merah pada lutut yang tidak menyumbang kepada kematian,” jelasnya. 

Roszianayati memberitahu, saksi termasuk rakan dan jurulatih mengesahkan mangsa menjalani latihan intensif sehari sebelum kejadian.

Pada prosiding hari ini, bapa mangsa, Muhamad Zaidi Abdul Rahman diwakili peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Nur Izzati Hafieza Ismail dan Putri Ainaa Amiera Megat Mustaffa Albakri. 

Responden pertama, Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula diwakili oleh Nurul Huda Mohd Salehuddin dan Nur Syahidah Mohamad Kamil, manakala responden kedua iaitu Pejabat Peguam Negara (AGC) diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Datin Kalmizah Salleh.

Mahkamah menetapkan 20 November untuk mendengar keputusan permohonan menggali semula kubur Allahyarham, selepas KDN dan AGC memohon masa untuk mengemukakan afidavit balasan.

Dalam kejadian 10 November tahun lalu itu, Muhammad Amir Rusyaidi dilaporkan pengsan ketika menyertai sesi latihan di padang perbarisan sebelum dibawa ke hospital. 

Beliau bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia tiga hari kemudian. - Getaran, 20 November 2025