Kahwin Adik-Beradik Tanpa Sengaja Dianggap Zina, Tak Perlu Lafaz Cerai – Peguam Syarie

19 Apr 2024 • 5:49 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli tampil menjelaskan kahwin adik-beradik walaupun tanpa sengaja dianggap zina.

Ini susulan selepas siri drama ‘Lelaki Itu’ yang memaparkan kisah perkahwinan dua beradik sedang hangat diperkatakan oleh warga maya.

image is not available

Menerusi satu perkongsian di Facebook, Faris berkata perkahwinan antara adik-beradik kandung tidak boleh sebut cerai kerana perceraian hanya untuk orang yang sah pernikahannya.

“Apa perlu buat kalau dah ‘terkahwin’ dan tersetubuh tanpa sengaja? Kalau dah berkahwin, mereka tak boleh sebut cerai sebab cerai hanya untuk ornag yang nikahnya sah.

“Tapi, kalau pernikahan sebegini berlaku, namanya Nikah Fasid iaitu pernikahan yang tidak sah dari segi syarat sah nikah,” katanya.

Kahwin adik-beradik tanpa sengaja dianggap zina

image is not available

Dalam pada itu, peguam ini turut berkata haram bagi seorang lelaki untuk berkahwin dengan saudara perempuan seibu sebapa, sebapa atau seibu kerana terdapat pertalian nasab antara mereka.

“Kalau diteruskan juga, sepanjang hidup akan terus hidup dalam perzinaan. Jadi, mereka perlu buat permohonan Faraq Nikah di Mahkamah Syariah.

“Mohon untuk membatalkan perkahwinan ini dan mohon ampun serta bertaubat atas ketidaksengajaan isu ini,” ujarnya.

image is not available

Sementara itu, Faris turut menjelaskan bahawa anak yang terhasil daripada perkahwinan adik-beradik kandung ini tidak dianggap sebagai anak tidak sah taraf.

“Bagaimana kalau ada anak atau cucu hasil persetubuhan yang tidak sah ini? Anak yang lahir daripada perkahwinan tidak sah ini tidaklah dianggap sebagai anak tak sah taraf.

“Tapi, namanya adalah anak Wati’ Syubhah atau persetubuhan yang diragui.

“Dari sudut undang-undang dan Hukum Syarak, anak-anak itu boleh dibin atau dibinti kepada bapanya serta mewarisi pusaka dan perwalian kerana mereka dianggap sebagai anak sah taraf,” jelasnya.

image is not available

Sekadar info, drama ‘Lelaki Itu’ memaparkan kisah Khairullah (Aedy Ashraf) dan Sharifah Batrisya (Hannah Delisha) yang berkahwin di luar negara tanpa pengetahuan keluarga mereka.

Namun begitu, selepas berkahwin pasangan itu akhirnya mengetahui kebenaran yang mana mereka merupakan adik beradik sama bapa dan berlainan ibu.

image is not available

Dalam episod terbaru, Sharifah Batrisya mendapati dia telah hamil dengan anak Khairullah dan kedua-dua mereka kini sedang bingung dengan nasib anak itu.

Sumber: Facebook Fahmi Ramli