Kahwin usia 14 tahun, gigih duduki SPM usia 24 tahun

LocalFamily & Parenting
17 Apr 2026 • 9:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kahwin usia 14 tahun, gigih duduki SPM usia 24 tahun
Gambar kiri: Ummul Afifah Husna menduduki SPM sebagai calon persendirian pada tahun lepas. Gambar kanan: Bersama suami selepas berkahwin pada usia 14 tahun. - Foto Ihsan Ummul Afifah Husna

SHAH ALAM - Hasrat seorang wanita untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menyambung pengajian ke menara gading tidak pernah luntur walaupun berkahwin pada usia 14 tahun.

Ummul Afifah Husna Mansor, 24, yang berhenti sekolah pada usia 15 tahun itu mengakui, cabaran utama adalah membahagikan masa antara keluarga dan pelajaran.

“Kadang-kadang saya belajar dalam keadaan anak bising, macam itulah saya belajar. Kadang-kadang saya belajar waktu mereka ke sekolah dan ada masa sampai terlelap kerana terlalu penat.

“Ada satu kertas peperiksaan saya hampir lambat sebab terlelap sebelum kertas Matematik, tapi nasib baik kawan-kawan kejutkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, perkongsian wanita itu menerusi akaun Tik Tok tentang kisahnya berkahwin pada usia 14 tahun dan mendapat keputusan 2A dan 4B sebagai calon persendirian SPM 2025 meraih 198,700 tontonan dengan 9,843 tanda suka.

Ummul Afifah Husna berkata, kejayaan tersebut hadir hasil usaha berterusan serta sokongan tanpa berbelah bahagi daripada suami, keluarga dan rakan-rakan.

“Kalau ada kelas dalam talian waktu malam, suami akan balik awal untuk jaga anak. Kami memang saling menyokong,” katanya.

Kongsinya, dia juga mempunyai mempunyai sistem sokongan yang kuat termasuk rakan-rakan seperjuangan yang turut mengambil SPM.

“Kami ada kumpulan sendiri. Kalau saya tak bangun pagi, mereka akan telefon atau datang ke rumah. Kami saling bantu antara satu sama lain,” jelasnya.

Ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara empat hingga sembilan tahun itu kini merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat Diploma Sains Komputer.

"Sebelum ini, saya memang bercita-cita untuk jadi pendidik. Walaupun laluan saya sedikit berbeza, saya percaya masih banyak peluang yang ada," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ummul Afifah Husna memaklumkan, dia mula berkongsi perjalanan mengambil SPM di media sejak tahun lepas.

“Asalnya sekadar simpanan peribadi, tetapi rupanya ramai yang tidak tahu peluang ambil SPM masih ada sebagai calon persendirian,” katanya.

Menurutnya lagi, sejak awal tahun lalu, beliau bersama rakan lain turut menubuhkan kumpulan sokongan bagi calon SPM persendirian yang kini menghimpunkan hampir 300 ahli.

“Dalam kumpulan itu, kami saling bantu dan beri semangat. Tahun lepas sahaja lebih 30 orang kembali ambil SPM hasil perkongsian saya,” ujarnya.

Mengulas persepsi segelintir pihak yang mengaitkan perkongsiannya dengan isu perkahwinan muda, Ummul Afifah Husna menegaskan niatnya bukan untuk menggalakkan perkara tersebut.

"Ramai yang hubungi saya untuk tanya tentang kahwin muda, tetapi selepas saya kongsi cabaran sebenar, kebanyakannya berubah fikiran dan tidak jadi berkahwin,” katanya.

Menurutnya, walaupun berdepan reaksi negatif di media sosial, perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkongsi pengalaman.

“Bagi saya, yang nampak negatif mungkin sebab mereka tidak nampak kebaikan. Tapi saya sendiri lihat ramai yang berubah ke arah lebih baik,” katanya.

Beliau turut menasihatkan golongan muda agar tidak mudah berputus asa, walaupun tidak cemerlang dalam akademik.

“Kalau tak minat akademik, masih ada laluan lain seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kolej komuniti atau kemahiran. Yang penting, kita ada ilmu dan tingkatkan diri,” katanya.

Mengulas kritikan di media sosial, Ummul Afifah Husna berkata, beliau memilih untuk fokus kepada sokongan positif yang diterima.

“Bagi saya, yang nampak negatif itu mungkin sebab mereka tak nampak kebaikan di sebaliknya tapi ramai juga yang ambil inspirasi dan mahu ubah hidup,” katanya.