Kajang Smart City percepat tindak balas kecemasan menerusi data masa nyata

LocalTechnology
29 Jul 2026 • 10:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kajang Smart City percepat tindak balas kecemasan menerusi data masa nyata

KAJANG, 29 JULAI: Kajang Smart City Command Centre (KS2C) dijangka mempercepatkan masa tindak balas kecemasan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menerusi penyatuan pelbagai data pemantauan bandar dalam satu pusat kawalan bersepadu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato' Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, projek bernilai RM1.56 juta itu mengintegrasikan pelbagai maklumat termasuk sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi membolehkan pemantauan keadaan bandar dilakukan secara masa nyata.

Menurut beliau, sistem berkenaan memberi kelebihan daripada aspek tempoh tindak balas apabila pihak berkuasa dapat memperoleh gambaran visual sesuatu kejadian dengan lebih pantas sebelum tindakan segera diambil.

"Bagusnya adalah tempoh tindak balas. Kita dapat gambaran visual ini dengan lebih cepat dan kita boleh bertindak dengan lebih pantas. Ada lagi kegunaan lain tapi strategiknya adalah untuk keselamatan termasuk isu banjir di Hulu Langat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kajang Smart City Command Centre (KS2C) di Menara MPKj, di sini semalam.

Image from: Kajang Smart City percepat tindak balas kecemasan menerusi data masa nyata
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato' Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berucap ketika perasmian Kajang Smart City Command Center (KS2C) di Kajang pada 28 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANG0R

Menurut beliau, KS2C turut membolehkan penyelarasan bersama agensi berkaitan menerusi perkongsian data bagi membantu tindakan ketika berlaku kecemasan seperti kemalangan, banjir dan insiden keselamatan.

Katanya, data yang dikumpulkan menerusi sistem itu juga boleh dimanfaatkan untuk tujuan analisis corak trafik serta pergerakan orang ramai pada masa hadapan.

"Kalau nak tengok corak berapa ramai orang masuk ke Hulu Langat atau Kajang pada hujung minggu dan sebagainya, data itu boleh digunakan dan dimanfaatkan," katanya.

Ahmad Fadzli berkata, pembangunan KS2C akan diperluaskan mengikut keperluan semasa serta perkembangan teknologi bagi memastikan sistem berkenaan terus relevan pada masa hadapan.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKj Nazli Md Taib menambah, pihaknya akan menjalinkan kerjasama strategik bersama agensi berkaitan bagi memastikan pemantauan dan tindakan dapat dilakukan secara lebih terselaras.

Image from: Kajang Smart City percepat tindak balas kecemasan menerusi data masa nyata
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Nazli Md Taib berucap ketika perasmian Kajang Smart City Command Center (KS2C) di Kajang pada 28 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANG0R

"Peringkat awal ini memang kita akan adakan kerjasama strategik dengan semua agensi di bawah Hulu Langat termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), bomba dan sebagainya.

"Daripada pusat kawalan (KS2C), agensi ini akan berkolaborasi untuk pemantauan yang sama dengan menggunakan data kita dan juga data mereka," katanya.

Beliau berkata, penggunaan sistem bersepadu itu akan membantu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk menerusi akses maklumat yang lebih menyeluruh.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved