Kaji potensi industri setiap daerah: Phoong

20 Jan 2023 • 4:11 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah akan mengkaji potensi industri di setiap daerah di negeri ini yang boleh dibantu untuk dibangunkan lagi agar lebih berkesan dan efisien, kata menterinya, Phoong Jin Zhe.

Menurutnya, beliau sudah mengarahkan kakitangan kementeriannya untuk melihat potensi sedia ada di setiap daerah, termasuk Tawau bagi memudahkan pihaknya memberikan bantuan pembangunan mengikut keperluan.

Pelabuhan Tawau, misalnya, kata Phoong memerlukan logistik yang mampan dalam menghadapi persaingan antarabangsa, memandangkan kedudukannya yang begitu dekat dengan Kalimantan, Indonesia.

“Sabah Port Sdn Bhd memaklumkan bahawa aktiviti perdagangan sangat aktif di Tawau dan saya fikir potensinya cukup besar apabila melihat kepada kelebihannya yang bersempadan dengan negara jiran.

“Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan, misalnya mungkin mewujudkan satu tempat untuk pemindahan kapal (transhipment) bagi kontena dan sebagainya… Itu saya serahkan kepada pihak pelabuhan untuk membuat kajian menyeluruh,” tambahnya.

Ini kerana, katanya, sebelum merancang sesuatu industri, beliau melihat aspek logistik yang mampan sangat perlu dititi-beratkan bagi memastikan pelabuhan efektif dan berkesan serta mampu bersaing dengan industri antarabangsa.

Phoong berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Tahun Baharu Cina 2023 anjuran Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Tawau di Dataran Terbuka Wisma Fuji, di sini, malam Rabu lalu.

Menurutnya, kehadirannya ke Tawau kali ini adalah yang pertama selepas dilantik menganggotai kabinet menteri Kerajaan Perpaduan Sabah dan beliau akan bertemu pemimpin dan penggiat industri serta perniagaan di daerah ini, selain meraikan Tahun Baharu Cina bersama masyarakat di sini.

Katanya, beliau mahu mendapatkan input daripada para pemain industri dalam pelbagai bidang yang berpotensi bagi membolehkan kementeriannya memberikan bantuan diperlukan, sekaligus dapat membangunkan lagi negeri ini.

Mengenai acara itu, Phoong gembira kerana setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit turut sama hadir memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina yang diraikan masyarakat Tiong Hua.

Malah, kerajaan juga memperuntukkan sejumlah dana yang besar untuk membolehkan perayaan kaum Cina itu dapati disambut meriah seperti juga perayaan-perayaan lain iaitu Pesta Kaamatan, Krismas, Hari Raya dan sebagainya.

“Penyerahan kepala singa sahaja melibatkan peruntukkan RM1.5 juta bagi seluruh Sabah, manakala bagi program sambutan sama ada berskala besar atau kecil, kerajaan memberikan peruntukan sekitar RM1 juta,” katanya.

Phoong berharap perpaduan yang diamalkan masyarakat dan juga kerajaan hari ini akan kekal berterusan serta tidak terlalu berpolitik supaya rakyat dapat menikmati lebih banyak perubahan di negeri ini hasil kestabilan politik yang dikecapi.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.