
KUALA LUMPUR - Tumpuan Dewan Rakyat hari ini terarah kepada keperluan menyemak semula kadar bantuan per kapita (PCG) yang tidak berubah sejak 2002 serta perkembangan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO).
Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen menyatakan, Mordi Bimol (PH-Mas Gading) meminta Menteri Pendidikan menjelaskan sama ada kementerian akan mengkaji semula PCG memandangkan kadar semasa tidak lagi mencukupi untuk menampung kos operasi dan program pengajaran dan pembelajaran (PdP) sekolah khususnya di luar bandar pada sesi soal jawab lisan.
Pada sesi sama, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) meminta penjelasan Menteri Digital mengenai sumbangan NAIO kepada pembangunan AI dan bagaimana kementerian akan berkolaborasi dengan kementerian lain bagi memastikan koordinasi cross-sectoral yang berkesan dalam pembangunan dan aplikasi AI.
Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) pula mengajukan soalan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengenai rasional utama di sebalik keperluan menggubal akta koperasi baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502).
Beliau juga mahu tahu bagaimana akta baharu tersebut akan menangani cabaran serta keperluan semasa gerakan koperasi di Malaysia.
Turut dibangkitkan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengenai status pelaksanaan Program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil Penyelidikan dan Pembangunan Tempatan (MySTI) serta usaha meningkatkan visibiliti produk tempatan berlogo MySTI. Persoalan itu ditanya oleh S Kesavan (PH-Sungai Siput).
Usai sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dengan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang bermula sejak Isnin lalu. Perbahasan ini telah disertai 78 Ahli Parlimen.
RMK13 yang bertemakan 'Melakar Semula Pembangunan' dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai lalu, dengan pelaburan RM611 bilion perlu disediakan kerajaan untuk memacu pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos 2025. - 11 Ogos, 2025
The post Kaji semula kadar bantuan per kapita, status kemajuan NAIO antara tumpuan Dewan Rakyat appeared first on Scoop.
