
GEORGETOWN - Syarikat pengendali feri baharu, Penang Port Sdn Bhd (PPSB) diminta agar mengkaji semula kadar tambang bagi perkhidmatan itu berikutan ia dilihat terlalu tinggi.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, kebanyakan penumpang menyifatkan tambang yang dikenakan bagi kedua-dua pangkalan terlalu mahal terutamanya bagi mereka yang berulang alik menggunakan perkhidmatan itu setiap hari.
Selain itu, mereka turut mendakwa tidak mendapat maklumat lengkap dan penerangan yang jelas mengenai kadar baharu yang dikenakan itu.
Pekerja kontrak, Lee Teik Keat, 75, berkata, dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan, tambang RM5 bagi motosikal sehari agak membebankan baginya.
"Saya tinggal di sebelah seberang, setiap hari tunggang motosikal berulang alik ke pulau kerana saya bekerja di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam di sini (pulau).
"Untuk masuk ke pulau, kena bayar RM2.50 dan pulang pun kena RM2.50, bagi saya itu sangat tinggi. Gaji pun tak tinggi, tambang ini agak mahal lah. Jika dulu, hanya dari seberang sahaja kena bayar tambang, sekarang pergi balik pun kena," katanya ketika ditemui di Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) pada Jumaat.
Guru agama, Syazwi Iqbar, 22, pula berkata, walaupun bukan berulang alik menggunakan feri setiap hari, dia turut meminta PPSB agar mengkaji semula kadar yang baharu bagi semua kategori penumpang.
"Bagi satu perjalanan pergi dan balik, RM5 bagi motosikal, saya rasa memang tinggi. Saya faham feri yang beroperasi sekarang ini, baru dan selesa tetapi dengan keadaan ekonomi ketika ini, saya berpendapat kadar tambang itu perlu dikurangkan lagi.
"Jika tidak diturunkan pun, mungkin boleh dilaksanakan seperti feri ikonik sebelum ini iaitu hanya dikenakan bayaran tambang di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), Butterworth sahaja," ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penunggang motosikal, Jeffrey Chun, 28, berkata, kadar tambang untuk feri baharu itu agak tinggi, namun dia tiada pilihan lain untuk berulang alik dari seberang ke pulau.
"Memang mahal sebab kena bayar dua kali tetapi saya tiada pilihan lain. Mahu guna jambatan, perjalanan akan jadi lebih jauh dan perlu menggunakan tenaga yang banyak.
"Nak tak nak saya kena guna juga feri dan perlu bayar RM5 sehari untuk pergi dan balik kerja," tambahnya.

