Kajian Baharu Menafikan Kewujudan Kehidupan Di Planet Selain Bumi

WorldTechnologyDigitalSpace
2 May 2025 • 5:20 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pertengahan April lalu, saintis dari University of Cambridge mengumumkan bukti kewujudan kehidupan di planet selain bumi. Menggunakan sensor teleskop angkasa James Webb (JWST), penyelidik mengesan kehadiran molekul dimetil sulfida (DMS) dan dimetil disulfida (DMDS) di planet K2-18b yang terletak 124 tahun cahaya daripada bumi. Kedua-dua gas ini wujud sekiranya terdapat hidupan akuatik di bumi memberikan harapan K2-18b juga menampung kehidupan.

image is not available
K2-18b – University of Cambridge

Tetapi apabila data asal dianalisa oleh Jake Taylor dari University of Oxford untuk mengesan sebarang kewujudan gas, beliau hanya melihat garisan mendatar. Ini bermakna tiada molekul sebarang gas dapat dikesan di atmosfera K2-18b.

Kesimpulan daripada kajian ini ialah data yang dikumpul menggunakan JWST mungkin mengandungi hingar yang tinggi sehingga memberikan bacaan yang tidak tepat, isyarat yang dikumpul adalah terlalu lemah atau model yang digunakan bias untuk mengesan gas DMS serta DMDS. Sejurus selepas pengumuman dilakukan oleh University of Cambridge, wujud beberapa persoalan mengapa gas etana langsung tidak dikesan sedangkan ia biasanya wujud dengan kehadiran DMS.

Kajian Jake Taylor kini di peringkat pracetak dan juga masih belum menjalani proses ujian setara. Pasukan University of Cambridge telah mengatakan lebih banyak bacaan data perlu diambil untuk benar-benar mengesahkan kewujudan di planet lain dengan proses ini akan mengambil masa beberapa tahun.