
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kajian mengenai Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam (Jawatankuasa Khas) perlu dilakukan secara teliti sebelum ia dimuktamadkan.
Ini kerana kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelaksanaan untuk meningkatkan kedudukan dan martabat mahkamah syariah yang melibatkan pindaan kepada Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan kelak, tidak dilihat gopoh sekali gus mewujudkan kelemahan ketara.
"Setakat ini saya tidak dapat lihat sebarang bantahan atau masalah sama ada Ketua Hakim Negara telah merestui usaha ini dan Majlis Raja-Raja diberikan taklimat awal.
"Cuma mereka minta supaya diteliti supaya tidak dilihat gopoh atau dalam pelaksanaan dilihat kelemahan ketara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah di sini pada Isnin.
Menurutnya, kajian daripada jawatankuasa itu dijadual dibentang pada mesyuarat Majis Raja-Raja, Ogos depan.
Bagaimanapun Anwar berkata, ia tidak dapat dimuktamadkan kerana disarankan untuk dirujuk kepada pakar perundangan Islam antarabangsa kerana akan menjadi satu dokumen kukuh yang boleh ditelaah.
"Perbincangan saya dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebaiknya diangkat ke peringkat antarabangsa, sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara dan kemudian kepada sidang Majlis Raja-Raja Melayu kerana soal Islam, adat dan kewarganegaraan, hal-hal tertentu mesti mendapat kelulusan," jelas beliau.
Tegasnya, usaha penelitian itu bukan satu dalih untuk melengahkan atau meremehkan usaha yang lalu termasuk Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355), malah ia ditambah baik kerana terdapat beberapa kelemahan besar dalam peruntukan itu.
"Ia boleh dijadikan panduan serta diserasikan di antara kedudukan mahkamah syariah dan mahkamah sivil," katanya.
Jawatankuasa khas yang ditubuhkan tahun lalu bertanggungjawab untuk mengkaji isu-isu yang melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri khususnya berkaitan dengan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah syariah sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi mempengerusikan jawatankuasa itu bersama 10 ahli yang lain turut berperanan meneliti alasan penghakiman yang dikemukakan dalam kes Iki Putra Mubarak dan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.
Dalam kes Iki Putra Mubarak, media melaporkan dia yang telah didakwa di mahkamah syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi, Selangor, namun disebabkan tidak berpuas hati dengan pertuduhan itu, mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) 1995 dengan mendakwa negeri atau mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.
Pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang yang dibuat oleh Iki Putra terhadap Seksyen 28 EJSS 1995, sekali gus mengetepikan undang-undang syariah Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.
Bagi kes Nik Elin Zurina pula, peguam itu telah memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan supaya 20 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah, selain memohon mahkamah mengisytiharkan DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam saja.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
