Kajian IMT-GT perkukuh rangkaian bandar getah

LocalBusiness & Finance
26 Oct 2026 • 2:12 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kajian IMT-GT perkukuh rangkaian bandar getah

KUALA LUMPUR – Kajian kerjasama rangkaian bandar getah di bawah Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) sedang dilaksanakan bagi memperkukuh hubungan pengeluar dan pembekal serta meluaskan pasaran Bandar Getah Kedah (KRC) ke peringkat global.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata, kajian di bawah Kumpulan Kerja Pemudah Cara Perdagangan dan Pelaburan (WGTI) itu akan menilai cabaran industri getah yang dihadapi ketiga-tiga negara.

“Antara aspek yang diteliti ialah turun naik harga getah global, jurang penggunaan teknologi serta perbezaan standard kualiti antara negara terlibat.

“Perbezaan standard kualiti antara ketiga-tiga negara ini mesti kita perkukuh untuk memastikan integrasi produk hiliran itu bernilai tinggi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai langkah kerajaan menjadikan KRC sebagai hab industri getah bertaraf dunia yang mampu menarik pelabur susulan Mesyuarat Menteri-Menteri IMT-GT ke-32 di Indonesia bulan lalu.

Mohd Shahar berkata, surat setuju terima (LOA) telah ditandatangani oleh perunding yang dilantik, manakala kajian itu dijangka mengambil masa enam bulan dan siap pada suku kedua 2027.

Beliau yakin hasil kajian berkenaan dapat memperkukuh sinergi rangkaian bandar getah antara Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Mengulas pembangunan jangka panjang KRC di Padang Terap, beliau berkata kerajaan Persekutuan telah menyediakan RM613 juta bagi pembangunan kawasan itu, termasuk pengambilan tanah dan penyediaan infrastruktur.

Katanya, KRC meliputi kira-kira 1,250 hektar tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang dipajakkan kepada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk pembangunan industri jangka panjang.

“Bagi melancarkan urusan pelabur di KRC, NCIA menubuhkan Pusat Perniagaan Bersepadu (IBC) dengan peruntukan RM15 juta sebagai pusat perkhidmatan dan rujukan berpusat,” katanya.

Tambah beliau, kemasukan pelabur ke KRC turut diselaraskan dengan pembangunan rantaian bekalan tempatan, selain pelaksanaan program padanan perniagaan dan pembangunan vendor dalam bidang pembungkusan, logistik serta perkhidmatan penyelenggaraan.- KOSMO! ONLINE

The post Kajian IMT-GT perkukuh rangkaian bandar getah appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved