

Kajian baharu daripada pakar sains saraf terkenal dan profesor Universiti Tohoku di Jepun, Ryuta Kawashima, menunjukkan bahawa memandu kenderaan transmisi manual (MT) mampu meningkatkan kesihatan otak secara signifikan dan mungkin membantu mencegah demensia.
Kenderaan transmisi manual kini diumpamakan seperti spesies yang hampir pupus. Alasan utama ia masih wujud hari ini adalah kerana peminat tegar kereta enggan membiarkannya lenyap, malah menggenggam tombol gear mereka seolah-olah nyawa mereka bergantung kepadanya.
Berdasarkan laporan oleh portal berita kereta Jepun, Best Car Web, Profesor Kawashima dari Universiti Tohoku telah membuktikan bahawa memandu kereta manual mengaktifkan kawasan otak yang tertentu dan boleh membantu mencegah demensia.

Menurutnya, memandu kereta manual mengaktifkan korteks prefrontal otak kerana ia memerlukan pengendalian klac, penukaran gear, kawalan pendikit minyak, dan kesedaran terhadap persekitaran secara serentak.

"Tindakan ini melatih otak kerana anda perlu menilai dan memilih gear yang paling optimum mengikut situasi. Ini memberikan bebanan yang lebih baik kepada fungsi kognitif otak berbanding memandu kereta transmisi automatik (AT) yang bersifat pasif," katanya.
Kajian beliau menyatakan bahawa memandu kenderaan bergear secara kerap sama ada motosikal atau keretamempunyai kesan yang signifikan dalam mengekalkan kesihatan mental dan fungsi kognitif.

Menurut laporan daripada Motor1, hanya 1.7% daripada pembelian kereta baharu di Amerika pada tahun 2023 dilengkapi dengan transmisi manual.
Beberapa jenama seperti BMW, Cadillac, Chevrolet, Ford, Honda, dan Toyota masih menawarkan pilihan gear manual hari ini, namun tidak dapat dipastikan berapa lama lagi mereka akan terus bermotivasi untuk melayani pasaran yang kecil (niche) ini.
Angka yang dikeluarkan oleh CarMax turut menunjukkan trend yang serupa iaitu jualan kereta manual meningkat kepada 2.8% pada tahun 2021 dan 2.9% pada tahun 2022, berbanding 2.4% pada tahun 2020.

Data ini menunjukkan bahawa kereta transmisi manual berkemungkinan besar akan kekal sebagai pilihan pasaran niche, memandangkan kemudahan yang ditawarkan oleh kereta automatik moden.
Namun, jika penemuan Profesor Kawashima dijadikan sandaran, memilih kereta manual boleh memberikan manfaat yang lebih besar daripada sekadar menjadikan pemanduan lebih menyeronokkan.
Walaupun ia hanyalah sebuah kereta hatchback kecil yang disimpan untuk pemanduan hujung minggu, usaha 'melayan' pertukaran gear itu mungkin berbaloi.
Di sebalik kajian beliau, masih ramaikah yang menggunakan kereta manual? Kongsikan pendapat anda di bawah ruangan ini.
Sumber berita: Yahooautos
