Johor sudah di landasan betul untuk menjadi jelapang pusat data Malaysia dengan Selangor menyusul pula di tangga kedua. Banyak projek pusat data telah beroperasi serta diumumkan di kedua-dua negeri ini sejak setahun lalu dipacu oleh permintaan global untuk pusat data AI. Ramai sedia maklum pusat data menggunakan kuasa elektrik dan bekalan air yang tinggi serta isu sistem penyejukan mengeluarkan bunyi bising berterusan. Tetapi dalam kajian terkini yang diterbitkan dalam jurnal Journal of Engineering for Sustainable Buildings and Cities, pusat data juga menyebabkan kawasan persekitaran lebih panas.

Pusat data mewujudkan “pulau haba” hasil daripada udara panas yang dihembuskan keluar oleh sistem penyejukan. Sebuah pusat data di Mesa dan Chandler, Arizona didapati menaikkan suhu kawasan sekitar sehingga 2°C (4°F). Kesan pemanasan ini boleh dirasai dalam lingkungan 500 meter dari perimeter pusat data. Pusat data menghasilkan lebih banyak haba berbanding 40,000 rumah kediaman. Sistem penyejukan yang digunakan pula melepaskan udara antara 8–14°C lebih panas daripada udara persekitaran.
Dapatan kajian ini membuka persoalan mengenai kesan jangka panjang pusat data yang dibina berhampiran kawasan perumahan. Pada Mac lalu, penduduk persekitaran tapak pembinaan pusat data ZData Technologies di Gelang Patah, Johor telah melakukan demonstrasi kerana ia menyebabkan masalah debu. ADUN Kota Iskandar, Pandak Ahmad telah menyarankan pusat data seharusnya tidak dibina berdekatan kawasan perumahan disebabkan isu ini. Jika dahulu yang dirisaukan hanyalah debu, kuasa, air dan bunyi, selepas ini impak suhu turut perlu dilihat sebelum pembinaan pusat data dibenarkan lebih-lebih lagi berhampiran kawasan perumahan.
[sumber] Journal of Engineering for Sustainable Buildings and Cities [/sumber]





