‘GIG’ pernah menjadi istilah yang digunakan pemuzik untuk menggambarkan persembahan langsung khususnya apabila melibatkan kawasan atau kelompok penonton yang kecil. Namun kini melambangkan pula identiti pekerja yang bekerja secara fleksibel tanpa ikatan tertentu seterusnya mendorong individu untuk meneroka di luar zon selesa masing-masing. Tidak terkecuali untuk Malaysia, trend pekerjaan yang berorientasikan gig bukanlah suatu yang baharu malahan semakin berkembang serta dikenali oleh semua lapisan masyarakat.

Menyedari akan implikasi ekonomi gig dan perlunya untuk menjaga hak pekerja oleh itu sebuah kajian telah dilakukan oleh MYCentre4IR tuntuk melihat apa yang diharapkan pekerja gig dengan menumpukan kepada kejayaan, cabaran dan peluang yang terlibat.
Masyarakat kita secara umumnya mempunyai tanggapan bahawa pekerja gig terdiri daripada golongan yang tidak berpendidikan tinggi, namun kajian daripada MYCentre4IR memberi hasil yang sebaliknya. Dalam kajian yang melibatkan 1,500 responden itu menunjukkan secara purata hampir 80% pekerja gig berumur 25 tahun ke atas dengan 60% daripadanya memiliki diploma atau kelayakan yang lebih tinggi.
Ditambah pula dengan ekonomi yang mencabar segulung ijazah tidak menjadi jaminan bagi mendapatkan pekerjaan impian. Turut dinyatakan bahawa kira-kira 70% daripada responden yang menjalankan pekerjaan gig secara sambilan kerana sudah mempunyai pekerjaan tetap. Pekerjaan gig secara purata menyumbang 37% kepada jumlah pendapatan tambahan pada golongan ini.

Turut dinyatakan bahawa terdapat tiga faktor utama yang mendorong seseorang untuk memilih pekerjaan gig iaitu (i) bebas dan fleksibel dari segi masa, tempat dan autonomi membuat keputusan sendiri, (ii) kebolehcapaian yang ditawarkan oleh pekerjaan gig dan (iii) pendapatan tambahan di samping pekerjaan utama. Majoriti pekerja gig yang terlibat dalam kajian ini akui berpuas hati dengan pekerjaan mereka. Ia disebabkan oleh pekerja gig mempunyai kehidupan yang sihat dan lebih banyak masa untuk diluangkan bersama keluarga dan rakan-rakan secara peribadi berbanding ketika bekerja sepenuhnya untuk sesebuah syarikat atau organisasi.
Bahkan kajian turut membuktikan bahawa ekonomi gig telah memberi peluang kepada mereka dalam memperoleh pendapatan yang produktif dan mampan. Turut disentuh dalam kajian ini ialah inisiatif yang pihak berwajib boleh lakukan untuk menjaga kebajikan mereka yang termasuk menyediakan peluang pekerjaan, pelan persaraan, pelindungan sosial dan lain-lain.
Memilih untuk bekerja dalam ekonomi ini atau sebaliknya bergantung pada masing-masing. Namun begitu persepsi positif terhadap ekonomi sebegini haruslah diterapkan dalam kalangan masyarakat. Lebih-lebih lagi apabila boleh memberi manfaat kepada banyak pihak. Kerjasama pihak berwajib dalam memperkasakan ekonomi ini turut diperlukan bertujuan untuk dimanfaatkan dengan sepatutnya.
- Laporan penuh- MYCentre4IR (MyDIGITAL)



