Dalam tempoh kurang tiga tahun, OpenAI yang dahulunya hanya dikenali dalam kalangan peminat Dota dan peminat teknologi kecerdasan buatan kini menjadi antara syarikat yang paling dikenali dunia. Siapa sangka pembangun bot yang boleh mengalahkan manusia dalam Dota kemudiannya membangunkan chatbot yang mengubah bagaimana kerja, kajian dan pencarian maklumat dilakukan di seluruh dunia.
Sejak dilancarkan, ramai tertanya-tanya apakah impak ChatGPT terhadap manusia? Kita sudah dapat melihat ribuan individu kehilangan kerja dan kini kajian dari Massachusetts Institute of Technology (MIT) mendapati ia turut mendatangkan impak negatif terhadap otak manusia.

Kajian melibatkan 54 peserta dalam lingkungan usia 18-39 tahun yang diberikan tugas menulis beberapa karangan untuk SAT (ujian setaraf STPM). Peserta dipisahkan kepada tiga kumpulan dengan kumpulan pertama menulis dengan bantuan ChatGPT, kumpulan kedua menggunakan Google dan kumpulan ketiga tanpa sebarang bantuan.
Alat EEG dipasangkan di kepala untuk merekodkan aktiviti 32 wilayah otak penulis. Penyelidik mendapati pengguna ChatGPT mempunyai penglibatan otak yang paling rendah. Prestasi otak mereka juga secara konsisten rendah pada tahap saraf, linguistik dan tingkah laku. Dalam tempoh beberapa bulan sahaja, pengguna ChatGPT turut menjadi lebih malas dengan setiap karangan yang dihasilkan menjadi karya salin dan tampal menjelang akhir kajian.

Oleh itu penyelidik mencadangkan penggunaan model bahasa rasa (LLM) seperti OpenAI boleh membahayakan proses pembelajaran terutamanya untuk pengguna muda. Walau bagaimanapun kertas kajian ini belum lagi melepasi proses kajian setara dan hanya menggunakan sampel yang agak kecil.
Adakah penggunaan AI membuatkan prestasi otak manusia merosot? Jika bukti anekdot boleh digunakan kami menyedari semakin ramai malas untuk melakukan kajian fakta daripada pelbagai sumber dan lebih selesa menggunakan frasa “grok is this true” di X yang adalah simptom pereputan otak yang amat tragis.




