Kajian : Penggunaan AI Di Kalangan Pekerja Malaysia Mengatasi Purata Global

LocalTechnology
26 Jun 2026 • 5:29 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Laporan Microsoft Work Trend Index ialah sebuah laporan yang dikeluarkan oleh Microsoft untuk melihat apakah trend produktiviti pekerja untuk membolehkan mereka melakukan tugasan-tugasan di pejabat mereka secara lebih cekap. Para pekerja Malaysia adalah sebahagian daripada laporan ini, dan negara kita telah memperlihatkan beberapa butiran berkenaan penggunaan teknologi AI yang cukup menarik sekali.

Laporan Work Trend Index tahun ini mengetengahkan perubahan dari akar umbi: apabila ejen AI mengambil lebih banyak tugasan yang remeh seperti pemprosesan data, pekerja mempunyai lebih banyak masa ruang untuk mengarah kerja, membuat pelbagai jenis pertimbangan dan melihat sendiri hasil kerja tangan mereka. Kekangan para pekerja kini bukan lagi keupayaan individu, tetapi bagaimana kerja direka untuk memfokuskan terhadap individu, pasukan dan juga sistem.

Bermula dengan metodologi Microsoft untuk mendapatkan data buat laporan ini, mereka telah mengumpul dan mengkaji beberapa trilion isyarat produktiviti Microsoft 365 secara awanama dan meninjau 2000 pekerja profesioinal sepenuh masa dan bekerja secara sendiri di Malaysia.

Image from: Kajian : Penggunaan AI Di Kalangan Pekerja Malaysia Mengatasi Purata Global

Menurut laporan indeks tersebut, para pekerja di Malaysia yang ditemubual sudahpun mula menggunakan teknologi AI sebagai cara untuk melakukan tugasan-tugasan penting, tetapi ramai pihak pengurusan tertinggi syarikat dilihat belum bersedia untuk menggunakan perkhidmatan AI secara lebih menyeluruh untuk mengoptimasikan aliran kerja mereka.

Malah, 24 peratus daripada profesional dari Malaysia yang ditemubual telah diklasifikasikan sebagai Frontier Professionals atau pekerja profesional yang paling arif dalam menggunakan teknologi AI dalam kerja seharian mereka. Peratusan ini dilihat sebagai angka yang lebih tinggi daripada purata global yang ditemubual untuk laporan indeks ini.

Dalam pada itu, 92 peratus daripada individu yang ditemubual mengatakan mereka menggunakan output perkhidmatan AI sebagai titik permulaan untuk kerja mereka, dan sebarang data yang dihasilkan oleh sistem tersebut akan diteliti terlebih dahulu dan diperhalusi sebelum ia diperkenalkan sebagai hasil kerja akhir.

Penggunaan perkhidmatan dan teknologi AI juga membuka peluang untuk meluaskan skop pengetahuan dan kebolehan pekerja, dimana 69 peratus daripada profesional dari Malaysia yang ditemubual mengatakan bahawa mereka boleh menghasilkan kerja yang mereka tidak mampu lakukan sebelum ini, dan ini adalah sama untuk 80 peratus daripada Frontier Professionals yang ditemubual.

Walaupun begitu, mereka semua tidak bergantung kepada AI sepenuhnya untuk melakukan tugas-tugas mereka, dimana mereka akan membuat keputusan terlebih dahulu tentang apakah tugasan yang boleh dibiarkan kepada AI, dan yang manakah mereka boleh lakukan dengan sendiri.

Walaupun ramai daripada profesional-profesional ini sudah menggunakan teknologi dan perkhidmatan AI untuk kerja seharian mereka, laporan Work Trends Index ini juga mengatakan bahawa syarikat-syarikat di Malaysia belum bersedia untuk mengimplimentasi perkhidmatan AI secara lebih meluas, dengan hanya 19 peratus daripada perniagaan yang ditemubual berada dalam kategori Frontier, yang mana kedua-dua perniagaan dan tenaga kerja bersedia untuk penggunaan AI sepenuhnya.

Kebanyakan organisasi berada dalam peringkat emergent atau permulaan, di mana penerimaan AI telah bermula, tetapi keupayaan AI individu dan keadaan organisasi masih sedang dibentuk. Di Malaysia, jurang tersebut dilihat amat ketara. Hanya 32 peratus pengguna AI di Malaysia mengatakan kepimpinan mereka jelas dan konsisten selaras dengan kemahuan untuk menggunakan teknologi AI.

Dari laporan ini, ia dapat dilihat bahawa sekurang-kurangnya pekerja profesional di Malaysia sudah bersedia dan mula menggunakan teknologi AI untuk bukan sahaja memudahkan tugasan harian, tetapi untuk menambahbaik kebolehan sedia ada dan mempelajari kemahiran baru.

Sumber: Microsoft Work Trend Index

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved