Kajian selidik ABM, ABIM menunjukkan peningkatan kesedaran pelangaan dalam penipuan

5 Jul 2024 • 12:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kajian selidik ABM, ABIM menunjukkan peningkatan kesedaran pelangaan dalam penipuan

syaza

05/07/2024 - 12:29

KUALA LUMPUR 5 Julai - Aplikasi perbankan kekal sebagai komunikasi yang paling dipercayai oleh pelanggan dengan 68% responden meletakkan notifikasi tolak daripada aplikasi perbankan di tiga teratas pilihan mereka.

Menurut kaji selidik Persatuan Bank-bank di Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), ini diikuti oleh e-mel yang berada di tempat kedua dengan 55% responden meletakkannya dalam terma yang serupa.

Responden dalam kajian bertajuk Pendapat Umum tentang Tinjauan Penipuan juga ditanya tentang seberapa baik mereka mengingati mesej kesedaran penipuan daripada bank, dan 47% mengingatinya menerusi platform media sosial bank masing-masing.

Katanya, ini merupakan 13% peningkatan daripada hasil kaji selidik sebelumnya, kata kenyataan ABM dan AIBIM semalam.

"Sementara itu, 44% responden mengingati menerima mesej ini melalui notifikasi tolak daripada aplikasi perbankan dan peringatan di laman web perbankan," katanya.

Menurut kajain itu, seramai 72% responden berpendapat bahawa penipuan biasanya berlaku akibat mangsa secara tidak sengaja mendedahkan butiran perbankan peribadi mereka.



Oleh itu, ABM menggesa pelanggan supaya berwaspada terhadap penipuan terutamanya di platform digital, di mana penipu kerap memanipulasi pengguna supaya mengklik pautan berbahaya atau mendedahkan maklumat sulit seperti kelayakan perbankan dalam talian.

Untuk melindungi diri daripada penipuan, ABM menasihatkan pelanggan untuk sentiasa elakkan mengklik pautan daripada nombor yang tidak dikenali dan hanya memuat turun aplikasi daripada kedai aplikasi rasmi seperti Apple App Store dan Google PlayStore, bukan melalui pautan, terutamanya pada aplikasi pemesejan seperti Telegram dan WhatsApp.



"Lindungi nama pengguna dan kata laluan perbankan anda dengan tidak berkongsinya dengan sesiapa, termasuk rakan dan ahli keluarga dan abaikan panggilan telefon atau mesej daripada nombor telefon bimbit yang tidak dikenali," katanya.

Sementara itu, menurut Pengerusi ABM, Datuk Khairussaleh Ramli, bank-bank tekad untuk mendidik pelanggan tentang pengetahuan terkini mengenai penipuan kewangan melalui kempen kesedaran penipuan peringkat kebangsaan sambil memperkukuh perlindungan terhadap penipuan kewangan melalui langkah-langkah keselamatan yang dipertingkatkan.

"Kesejahteraan kewangan pelanggan tetap keutamaan kami dan kami berhasrat untuk melengkapi pelanggan dengan sumber yang diperlukan untuk melindungi diri mereka daripada penipuan, memupuk kesedaran dan membina ketahanan," katanya.

Sementara itu, ABM, AIBIM dan bank ahli mereka akan terus bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan undang-undang, badan kerajaan dan pengawal selia kewangan termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta pihak berkepentingan seperti CyberSecurity Malaysia untuk mengingatkan pelanggan agar berhati-hati semasa menjalankan urusan kewangan.

Kajian selidik pada Mac 2024 itu melibatkan seramai 1,000 orang dengan 63% responden mempunyai ingatan yang tinggi terhadap kempen kesedaran #JanganKenaScam, mencatatkan peningkatan sebanyak 9% daripada keputusan kaji selidik sebelumnya, dengan 80% memuji mesej anti-penipuan dan tagline kempen yang jelas.

Selain itu, 81% daripada responden yang menghadiri acara #JanganKenaScam diadakan oleh ABM memperoleh pengetahuan berguna dalam menangani situasi penipuan dengan lebih baik, 95% berkemungkinan besar akan menghadirkan diri ke acara itu lagi.- DagangNews.com