
Kota Kinabalu: Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) akan memulakan kajian kebolehlaksanaan serta reka bentuk awal pembinaan sistem kereta api yang menghubungkan Putatan ke Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Pelabuhan Sepanggar dalam masa terdekat, sebagai sebahagian usaha memperkukuh rangkaian perhubungan strategik negeri.
Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata kajian itu penting bagi meningkatkan tahap keterhubungan antara kawasan perindustrian dan pelabuhan utama di Sabah, sekali gus menyokong kecekapan logistik serta pertumbuhan ekonomi negeri.
“Saya mengalu-alukan hasrat dan keperluan JKNS untuk memulakan kajian kebolehlaksanaan berkaitan reka bentuk pembinaan sistem kereta api yang menghubungkan Putatan, KKIP dan Pelabuhan Sepanggar.
“Saya percaya Sabah memerlukan sistem perhubungan yang lebih baik, khususnya bagi menghubungkan taman-taman perindustrian dengan pelabuhan di seluruh negeri.
“Kajian ini amat penting dan akan banyak membantu Kerajaan Negeri Sabah dalam menentukan hala tuju seterusnya,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke JKNS di Bilik Mesyuarat Utama jabatan itu, Selasa.
Ewon, yang juga Timbalan Ketua Menteri III, berkata inisiatif tersebut sejajar dengan keperluan memperkukuh ekosistem pelaburan dan perindustrian negeri yang memerlukan jaringan pengangkutan bersepadu serta cekap, khususnya bagi pergerakan barangan dan bahan mentah.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa Kajian Kebolehlaksanaan Projek Kereta Api Trans-Borneo kini sedang dijalankan, dengan tumpuan khusus diberikan kepada keutamaan perhubungan pelabuhan di seluruh Sabah.
Menurutnya, JKNS telah mengemukakan pandangan awal dengan memberi fokus kepada pelabuhan-pelabuhan utama negeri termasuk Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Kudat dan Kota Kinabalu, selain beberapa lokasi strategik lain.
“Pandangan ini akan menjadi asas kepada penentuan jajaran sekiranya dipersetujui dalam kajian berkenaan. Saya percaya selepas kajian ini siap, ia akan dibentangkan kepada Kerajaan Negeri untuk pertimbangan lanjut, termasuk penetapan hala tuju yang sesuai.
“Buat masa ini, ia masih di peringkat kajian kebolehlaksanaan dan input awal daripada JKNS telah diambil kira,” katanya.
Beliau menambah, pembangunan sistem pengangkutan rel yang lebih menyeluruh berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan jalan raya, selain menyokong perancangan jangka panjang pembangunan wilayah dan perindustrian Sabah.
Pada masa sama, Ewon berkata JKNS turut memberi penekanan kepada usaha memperkukuh mutu perkhidmatan sedia ada kepada pengguna kereta api, khususnya bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan itu untuk tujuan bekerja, bersekolah dan urusan harian.
“Kita mahu memastikan perkhidmatan kereta api bukan sahaja menyokong aktiviti ekonomi, tetapi juga memenuhi keperluan mobiliti harian rakyat,” katanya.
Turut hadir dalam lawatan kerja itu ialah Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Jonnybone J. Kurum, Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Thomas Logijin serta Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah, Ir Mohammad Safri Abd Habi.


