Impak kecerdasan buatan (AI) terhadap tenaga kerja sudah dapat dilihat dengan wartawan akhbar, majalah dan penerbitan atas talian telah dibuang dan digantikan olehnya. Di sektor kolar putih pula, CEO Anthrophic mengatakan kadar pengangguran di Amerika akan meningkat ke 20% disebabkan manusia digantikan oleh AI. Secara majoritinya berita mengenai penggunaan AI adalah negatif. Tetapi kajian yang dilakukan kerajaan UK mendapati dalam situasi tertentu, penggunaan AI adalah baik untuk pekerja.
Seramai 20,000 penjawat awam di UK diberikan akses kepada Microsoft 365 Copilot selama tiga bulan. Selepas tempoh tersebut, kajian mendapati penggunaan AI telah menjimatkan 26 minit waktu bekerja sehari atau bersamaan 2 minggu waktu bekerja setahun untuk setiap penjawat awam.

Di Suruhanjaya Syarikat misalnya AI digunakan untuk mengendalikan pertanyaan lazim pelanggan dan mempercepatkan tugas seperti merangka respons dan mengemas kini rekod. Di Jabatan Kerja dan Pencen pula, ia digunakan untuk memperibadikan nasihat untuk pencari kerja supaya mereka mendapat sokongan yang lebih pantas dan lebih disesuaikan.
Dalam laporan yang diterbitkan oleh Alan Turing Institute pula, AI didapati boleh menyokong 41% tugas-tugas penjawat awam yang sekaligus mengurangkan kos. Penjawat awam di UK menghabiskan 30 minit sehari membalas emel yang kini boleh dikurangkan sehingga 70% dengan bantuan AI. Para guru pula menghabiskan 100 minit sehari merancang pelajaran yang bolah dikurangkan sebanyak 75% menggunakan AI.
Penggunaan AI mempunyai reputasi buruk kerana dilabel sebagai alat menipu dan menggalakkan kemalasan. Ini ada kebenarannya tetapi pada waktu yang sama dengan penggunaan yang betul, ia boleh mengurangkan bebanan kerja remeh yang bukan sahaja menghantui penjawat awam tetapi juga sektor swasta.
Di Malaysia Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) memperkenalkan inisiatif AI at Work pada Disember lalu. Inisiatif itu adalah usaha sama antara Kementerian Digital dan Google Cloud untuk mengintegrasikan Gemini for Google Workspace ke dalam aliran kerja harian pegawai awam. Masih belum ada laporan impak penggunaannya dalam kalangan penjawat awam Malaysia. Jika kajian di UK boleh dijadikan contoh, mungkin selamat untuk diandaikan ia juga menjimatkan masa penjawat awam Malaysia.
