Sebut sahaja pasal kereta elektrik, terdapat satu persoalan umum mengenai apakah yang akan jadi kepada bateri kereta elektrik, sekiranya ia berkurangan kapasiti, atau sekiranya terdapat kemalangan mahupun kerosakan. Adakah bateri elektrik itu akan dibuang ? Awal tahun ini BMW Malaysia mengumumkan kerjasama dengan Universiti Malaya dalam menggunakan semula bateri kereta elektrik dan mereka telah berkongsi sedikit sebanyak mengenai projek tersebut.

Kerjasama dengan Universiti Malaya ini melibatkan tiga institusi iaitu Pusat Tenaga Kuasa & Tenaga Lanjutan (UMPEDAC), Pusat Penglibatan Komuniti (UMCares) dan Pusat Pembangunan Lestari (UMSDC). Ini kerana ia turut melibatkan program bersama komuniti Orang Asli Semai di Ulu Sendirut, Kuala Lipis, Pahang. Melaluinya, komuniti ini akan menerima pek bateri yang boleh memberikan bekalan elektrik untuk kegunaan menyimpan makanan segar dan daging supaya ia kekal selamat untuk satu masa panjang.

Dalam gambar di atas, ia merupakan satu contoh bagaimana bateri lithium Generasi ke-3 yang dipasang pada kereta elektrik BMW. Unit bateri terpakai ini dilihat mampu memberikan tenaga kepada peti sejuk, yang dapat memastikan bekalan makanan mereka bertahan walaupun ia bersaiz kecil. Bateri ini akan disambungkan kepada panel solar untuk tujuan mengecas semula di waktu siang.

Satu lagi penggunaan pek bateri terpakai ini adalah untuk sebagai pengecas peranti di hentian bas Universiti Malaya. Dengan kombinasi bumbung solar, ia dapat mengecas pek bateri terpakai ini, seterusnya digunakan oleh pelajar sewaktu menunggu di hentian. Dalam gambar di atas merupakan prototaip pengecas dengan pek bateri terpakai dari BMW yang digunakan untuk mengecas telefon pintar dan juga laptop dalam masa yang sama.

Dengan perkongsian terkini mengenai projek lestari dari BMW Malaysia dan Universiti Malaya ini sedikit sebanyak memberikan pendedahan mengenai kitaran pek bateri kereta elektrik yang mempunyai pelbagai kegunaan walaupun tidak lagi digunakan untuk kereta. BMW Malaysia turut menekankan yang mana pek bateri terpakai untuk tujuan kerjasama ini akan kekal direkodkan (Battery passport) bagi memastikan ia dikitar semula dengan cara yang bertanggungjawab, bukan semudah membuangnya begitu sahaja.
