Kaka Azraff, Adam Azriff cerai talak dua lepas setahun rujuk. 'Jodoh kami setakat ini, fokus besarkan anak-anak'

Entertainment
5 Jun 2026 • 4:57 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Kaka Azraff, Adam Azriff cerai talak dua lepas setahun rujuk. 'Jodoh kami setakat ini, fokus besarkan anak-anak'

PENYANYI Kaka Azraff pasrah apabila ikatan perkahwinannya dengan bekas suami, Adam Azriff terlerai dengan talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor, semalam.

Menurut laporan Kosmo, Nor Atiqa Noor Azraff, 36, menjelaskan bahawa keputusan itu dilakukan berdasarkan pertimbangan yang matang dan bukannya mengikut emosi. Langkah tersebut diambil setelah segala usaha untuk menyelamatkan hubungan mereka menemui jalan buntu.

“Ya, semalam saya hadir ke mahkamah bagi mengikuti prosiding pengesahan lafaz taklik. Saya dan Adam kini bercerai talak dua.

“Hal rumah tangga apatah lagi soal cerai bukan sesuatu yang saya mahu kongsikan dengan orang luar, tetapi apabila media dapat hidu, saya perlu berterus terang.

“Saya reda jodoh kami setakat ini sahaja. Sekuat mana pun usaha kita (pertahankan), kalau takdirnya sampai di sini kita reda sahaja, hidup perlu diteruskan demi anak-anak,” ujarnya.

Ditanya punca perpisahan selepas lebih setahun rujuk, pelantun Bawa Daku Pergi itu memilih untuk mengunci mulut, namun menyifatkan episod duka tersebut sebagai satu proses yang mematangkan dirinya. Enggan memperincikan perkara tersebut Kaka sebaliknya mahu fokus memandangkan ke hadapan.

Image from: Kaka Azraff, Adam Azriff cerai talak dua lepas setahun rujuk. 'Jodoh kami setakat ini, fokus besarkan anak-anak'

“Biarlah punca tidak didedahkan malah saya juga tidak menganggap perceraian kali kedua ini sebagai kegagalan. Ini juga pengalaman yang mematangkan diri saya sebagai wanita serta ibu.

“Jadi tidak perlu pandang ke belakang, kita fokus pada masa depan iaitu membesarkan anak-anak serta terus aktif dengan karier memandangkan sebelum ini saya perlahankan rentak demi keluarga.

“Saya juga dibesarkan ibu tunggal walaupun ibu dan bapa saya berpisah mati, tapi semangat serta kesungguhan ibu membesarkan kami menjadi penyuntik semangat” ujarnya.

Pada masa sama, Kaka mendedahkan dia dan Adam sudah membawa haluan masing-masing serta tidak lagi tinggal serumah sejak beberapa bulan lalu. Tempoh berjauhan itu digunakannya untuk muhasabah diri. Malah tempoh idahnya juga hanya berbaki sebulan.

“Ikutkan sudah lebih dua bulan kami tidak lagi tinggal bersama dan saya pula ada sebulan sahaja lagi untuk habis tempoh idah.

“Anak-anak juga kini memang di bawah jagaan saya. Fokus saya sekarang mahu kerja keras untuk mereka yang jadi sumber motivasi untuk saya terus melangkah dalam kehidupan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Kaka dan Adam dilihat berada di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Khamis.

Mereka dilaporkan hadir bagi mengikuti prosiding kes pengesahan lafaz taklik yang difailkan penyanyi terbabit.

Kaka dan Adam yang mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 pernah bercerai pada 28 Oktober 2024 sebelum mengambil keputusan untuk rujuk semula pada awal tahun 2025.

Lapan tahun berkongsi hidup, mereka dikurniakan tiga anak lelaki iaitu Aslan, 7, Aryan, 5, dan Atta Adam, 2. 

Sumber: Kosmo