
KUALA LUMPUR 5 Dis – LJP Kitchen Sdn Bhd menerusi jenamanya, Kakatoo F&B Group memeterai kerjasama strategik tiga pihak bersama ALAA Consultancy (M) Sdn Bhd dan DOSZ Coffee bagi memajukan keusahawanan dalam sektor makanan dan minuman (F&B).
Menurut kenyataan bersama, kerjasama tersebut dimuktamadkan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di Kakatoo Restoran, Quill City Mall, baru-baru ini.
Sebagai fasa permulaan, kerjasama itu akan digerakkan melalui Program Perniagaan Tart Telur Natalah dengan pembiayaan berjumlah RM15 juta disediakan oleh institusi pembiaya kepada 1,000 usahawan terpilih di seluruh negara.
Dalam kerjasama ini, Kakatoo F&B Group akan menyediakan pakej operasi lengkap merangkumi pembekalan peralatan, pengurusan rantaian bekalan, pelesenan serta latihan.
ALAA Consultancy pula mengetuai aspek strategik kewangan termasuk pemilihan usahawan, tadbir urus program serta penyusunan komersial, manakala DOSZ Coffee berperanan sebagai platform runcit bagi membolehkan pelaksanaan program diperluas secara menyeluruh.
Kerjasama tiga hala itu dijangka mewujudkan satu model perniagaan F&B yang lebih berstruktur dan disokong secara profesional, di samping membuka peluang pendapatan baharu kepada komuniti usahawan mikro.
Ketua Pegawai Eksekutif Kakatoo F&B Group, Joyce Chong berkata Program Tart Telur Natalah tercetus hasil pemerhatian terhadap permintaan tinggi terhadap produk tart telur yang mudah dijual serta mempunyai pusingan tunai yang pantas.
“Syarikat mengambil idea yang ringkas ini dan membangunkannya sebagai satu model perniagaan mikro berasaskan modal rendah, sesuai untuk pengusaha kantin, kafe serta peniaga kecil sebagai sumber pendapatan tambahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, inisiatif itu bukan sahaja menyasarkan peningkatan aktiviti keusahawanan, malah mampu menggalakkan penyertaan golongan muda dan suri rumah dalam sektor F&B yang kompetitif.
Majlis menandatangani MoU tersebut disaksikan oleh Pengerusi ALAA, Tan Sri Dr Madinah Mohamad. Dokumen terbabit ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kakatoo F&B Group, Joyce Chong; Ketua Pegawai Eksekutif ALAA Consultancy, Husna Nashim; serta Pengarah W Capital Privy Equity Sdn Bhd, Adib Halim Azmi bagi pihak DOSZ Coffee. - DagangNews.com

