Kaki kanan dipotong: Mas Siti Rosnani masih dipantau rapi di ICU

LocalHealth & Fitness
15 May 2026 • 5:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kaki kanan dipotong: Mas Siti Rosnani masih dipantau rapi di ICU
Kanak-kanak perempuan yang terpaksa memotong kaki kanan hingga paras paha akibat kemalangan semasa dalam perjalanan ke sekolah, Mas Siti Rosnani ketika dibawa ke HPUSM.

KOTA BHARU – Kanak-kanak perempuan yang terpaksa memotong kaki kanan hingga paras paha akibat kemalangan semasa dalam perjalanan ke sekolah di Machang Isnin lalu, kini berada dalam keadaan stabil.

Mangsa, Mas Siti Rosnani Rosli, 7, bagaimanapun masih dipantau rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian di sini.

Bapa saudaranya, Nadzri Abdullah, 51, berkata, anak bongsu daripada 14 beradik itu menunjukkan perkembangan positif apabila memberi tindak balas selepas dua hari selesai pembedahan memotong sebelah kaki selesai dilakukan pada Selasa lalu.

“Semalam apabila dipanggil namanya, ada pergerakan pada tangan selain dia juga membuka mata.

“Doktor memaklumkan keadaannya stabil, namun hari ini dia diberikan ubat tidur bagi mengurangkan rasa sakit selepas pembedahan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, kanak-kanak itu masih berada di bawah pemantauan rapi doktor.

Mas Siti Rosnani salah seorang daripada tiga pembonceng motosikal jenis C100 yang parah selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta jenis Honda Jazz di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu–Kuala Krai, Kampung Pek kira-kira jam 7 pagi.

Dalam pada itu, abang mangsa, Muhammad Muskir Rosli, 14, masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai juga akibat kecederaan parah patah kedua-dua paha.

Dua lagi mangsa juga cucu saudarannya, Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9, dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12, juga masih menerima rawatan di hospital sama di Kuala Krai.

“Muhammad Zulhaqif kurang bercakap kerana demam sedikit.

“Adik dia pula kuat semangat dan banyak kali beritahu dah sihat serta nak pulang ke rumah,” katanya.

Kesemua mereka bagaimanapun masih perlu berada di hospital untuk prosedur rawatan seterusnya.

Tambah Nazri, keluarga juga sudah memaklumkan kepada mereka mengenai keadaan Mas Siti Rosnani yang kehilangan kaki kanan.

“Kami sekeluarga reda dengan ujian yang berlaku dan berharap orang ramai terus mendoakan kesembuhan mereka,” katanya.

 

 

View Original Article