
RANAU: Kakitangan awam di daerah ini digesa menerapkan budaya kecemerlangan demi meneruskan pencapaian terbaik yang ditunjukkan anggota sektor tersebut selama ini.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sikap cemerlang kakitangan awam akan menjurus kepada penghasilan individu cemerlang dari Ranau.
“Ranau suatu tempat yang unik bukan sahaja dari segi cuaca dan lokasi, tetapi sikap penduduk Ranau yang terpuji dalam kalangan warga Malaysia secara amnya, dengan pelbagai pencapaian yang dapat dibanggakan, seterusnya cemerlangkan negeri,” katanya.
Masidi mengajak semua kakitangan awam di daerah ini untuk meneruskan legasi itu agar dapat melahirkan pelapis terbaik.
SPONSORED CONTENT Mengalum for world’s first net zero carbon island resort Taiwan’s Sinyi Group is on track to unveil the world’s first unique net zero carbon island resort on Mengalum Island. . Read more Beliau turut menegaskan akan perlunya merangkul kecemerlangan sebagai suatu pasukan.
“Walau kita berasal dari jabatan berlainan, anggap saja kita ini punya satu tujuan dan satu matlamat.
“Jangan suka beza-bezakan antara jabatan kerana kesannya sama juga dan kita berkhidmat kepada orang yang sama iaitu penduduk Ranau. Justeru mesti ada sikap kepedulian dalam kalangan kakitangan antara jabatan.
“Belajarlah untuk bekerja sebagai satu pasukan dan percayalah, penyelesaian akan dapat diperoleh dengan lebih mudah,” katanya.
Tambah beliau, niat baik dalam pekerjaan, khususnya dalam perkhidmatan awam adalah penting, dan ini termasuk untuk menjauhkan diri daripada salah guna kuasa, korupsi dan sebagainya.
“Justeru, fokus kepada kecemerlangan pada semua perkhidmatan kita.
“Berita baiknya ialah, semua orang Ranau cemerlang, cuma kita hanya perlu fokus bagaimana kita praktikkan budaya cemerlang yang sebenarnya sudah menjadi budaya kita di Ranau,” katanya.
Masidi yang juga Adun Karanaan berkata demikian semasa merasmikan Majlis Apresiasi Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan Daerah Ranau yang diadakan di Hotel Perkasa Kundasang, baru-baru ini.
Sementara itu, Masidi turut mengulas mengenai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) baru, SMJ Energy Sdn Bhd, yang mana beliau menjadi pengerusinya.
“Syarikat itu mendapat dana daripada Kerajaan Negeri pada 2021, 2022 dan 2023 dengan jumlah keseluruhan RM50 juta. Ia terlibat dalam pelaburan untuk mendapatkan ekuiti daripada syarikat-syarikat Petronas yang untung.
“Berkat daripada pengurusan syarikat yang baik, syarikat itu sekarang bernilai sebanyak RM5.4 billion. Dan keuntungan tahun lepas bernilai ratusan juta.
“Dan kita telah membayar sumbangan kepada kerajaan negeri dalam bentuk dividen sebanyak RM50 juta,” katanya.
Tegas Masidi, ia salah satu contoh yang menunjukkan banyak yang boleh dilaksanakan jika semua perhatian fokus kepada matlamat yang telah digariskan lebih awal.
Beliau berkata, Ranau ketika ini juga sudah mempunyai sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
“Ini sememangnya bersesuaian kerana kita perlu sebuah pusat pendidikan cemerlang bagi mencemerlangkan anak-anak kita.”
Mengulas isu bekalan air di daerah ini yang menjejaskan ramai penduduk, beliau berkata ia sedang ditangani dengan pembinaan projek bernilai hampir RM20 juta.
“Punca air yang diambil dari Sungai Nakamura dan ditapis di loji baharu yang terletak berhampiran SMK Agama. Mudah-mudahan sebahagian projek ini dapat disiapkan pada akhir tahun ini,” katanya.
Tambahnya, projek itu dapat menyelesaikan bekalan air bersih paip di daerah ini, selain menambah air terawat kepada penduduk sekitar Lohan.
“Satu lagi isu ialah berkaitan usaha kita untuk membina lebih banyak lagi jalan raya untuk masuk ke kampung selain memperbaiki infrastruktur asas dan sedikit sebanyak menyelesaikan masalah kesesakan.
“Untuk pengetahuan semua, saya ingin memaklumkan bahawa satu jalan raya baru bakal diwujudkan, yang dijangka akan bermula tahun ini kerana ia telahpun diluluskan.
“Jajaran baharu ini ialah selepas Kg Mohimboyan, Kg Lipantai dan terus ke Kg Pahu di mana ia akan dinaiktaraf dengan konkrit dan sebagainya, supaya mereka yang datang dari Ranau dan ingin mengelakkan kesesakan di Kundasang, boleh mengambil jalan itu.
Selepas sampai ke Pahu atau Himbaan, dia boleh terus memilih untuk balik ke Bundu Tuhan - Tenompok atau ikut jalan raya Kiulu. Ini antara usaha kita untuk memperbaiki infrastruktur asas,” katanya.
Satu lagi jalan raya iaitu Jalan Sosondoton-Nagaya, tambah Masidi, sudah hampir siap dan fasa seterusnya ialah antara Sosondoton dengan Tudan, di mana pada akhirnya keseluruhan jaringan ini akan menembusi hampir kesemua kawasan di Karanaan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggang.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

