Sebelum ini muncul laporan maklumat rahsia Samsung tertiris selepas kakitangan menggunakan ChatGPT menggunakan komputer milik syarikat. Hari ini Bloomberg melaporkan Samsung telah mengeluarkan memo kepada kakitangan supaya tidak lagi menggunakan kecerdasan buatan seperti ChatGPT, Microsoft Bing dan Google Bard bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.

Ini akan memberikan cabaran kepada kakitangan Samsung kerana syarikat ingin menggunakan tenknologi seperti ChatGPT pada peranti keluaran mereka seperti yang disahkan TM Roh kepada kami beberapa bulan lalu. Jika AI tidak boleh digunakan dengan komputer kerja, bagaimana ia akan diintegrasikan dengan lebih baik pada produk kelak?
Penggunaan kecerdasan buatan dalam bentuk chatbot kini adalah perkara normal untuk mempercepatkan tugasan di pejabat. Ramai mungkin tidak menyedar input yang dimasukkan ini kemudiannya akan disimpan oleh pembangun seperti OpenAI bagi melatih AI generasi seterusnya. Oleh sebab itu apabila dimasukkan ke dalam pangkalan data, rahsia mungkin boleh tertiris secara tidak sengaja.
Ini menjadi asas mengapa di Kesatuan Eropah (EU) RUU baharu sedang dibentuk bagi memastikan data peribadi pengguna tidak digunakan secara sambil lewa, tanpa kebenaran dan diberikan pilihan untuk dipadam. Dalam perlumbaan membangunkan AI, risiko etika penggunaan data dan bahaya kepada manusia jarang sekali dibincangkan. Seperti semua teknologi baharu, langkah melihat dahulu sebelum menggunakan mungkin adalah pilihan yang lebih bijak untuk semua.
