
KUALA LUMPUR - Hari ini bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menghiburkan pendengar salah satu stesen radio apabila menyanyikan lagu Malam Pagi versi sendiri yang diolahnya sesuka hati.
Nyanyian Khairy yang lebih dikenali sebagai KJ itu berjaya mencuri tumpuan ramai apabila beliau dengan spontan menukar lirik asal lagu tersebut yang dinyanyikan oleh Saixse.
"Malam masih muda, asal kau duduk macam tak buat apa. Bazir masa nak fikir tentang cinta.
"Ya aku sakit, aku kalah sampai jadi DJ," nyanyinya di dalam segmen Bekpes Hot yang dikendalikan oleh radio Hot FM.
Video yang dimuat naik di Instagram @hotfm976 mendapat banyak reaksi pengguna laman sosial berkenaan.
Majoriti mereka terhibur dengan nyanyian bekas Ahli Parlimen Rembau itu.
"Tak sangka rupanya KJ ada bakat terpendam, tapi lebih bagus kalau biarkan terpendam.
"Kalah sampai jadi DJ, saya terhibur.
"Apa yang korang @hotfm976 buat dekat KJ ni, habis rosak dia," kata netizen.
KJ sebelum ini kalah ketika bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh dalam Pilihan Raya Umum ke 15 November lalu.
Susulan kekalahan KJ itu, beliau meneroka peluang lain dengan menceburkan diri dalam bidang baru iaitu sebagai penyampai radio di stesen berkenaan bermula sejak 15 Februari.
Beliau mengendalikan segmen berkenaan bersama Johan, Fara Fauzana dan AG bermula jam 6 hingga 10 pagi setiap Isnin hingga Jumaat. – Getaran, 21 Ogos 2023

