'Kalau abang saya salah sekalipun, kita ada undang-undang'

6 Feb 2024 • 2:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar video tular kejadian beberapa individu dipercayai anggota polis cuba menahan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Langkawi beberapa hari lepas.

ALOR SETAR - Keluarga lelaki yang maut selepas ditahan polis di Langkawi, pada Isnin lepas, mempersoalkan mengapa abangnya diperlakukan sedemikian rupa.

Menurut perkongsian di TikTok miliknya, adik mangsa dikenali sebagai Salwana Salleh berkata, mereka sekeluarga berharap nasib abangnya terbela.

"Jikalau, abang saya salah sekalipun. Salah kah, tak salahkah apa yang berlaku itu, kita ada undang-undang, kita ada mahkamah, kita ada tuan hakim yang menjatuhkan hukuman.

"Dengan apa yang mereka buat itu adalah sangat-sangat tidak betul," katanya pada Isnin.

Menurutnya, kesan kecederaan dialami abangnya membuktikan apa yang berlaku pada hari kejadian.

"Jadi, sama-samalah kita berdoa untuk keadilan (dan) berharap mendapat hak ke atas abang. Kita doa yang baik-baik," katanya.

Tambah Salwana, dia juga berharap tiada mana-mana pihak memfitnah abangnya susulan kejadian berlaku pada 29 Januari lepas.

"Bagi sesiapa yang tidak tahu punca sebenar yang berlaku ada yang memfitnah abang saya dah meninggal. Saya berharap dia merangkaklah untuk mencari abang saya di sana dengan punca apa yang berlaku dan memfitnah tidak betul," katanya.

Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan beberapa individu dipercayai anggota polis cuba menahan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Langkawi.